Tiga penjenayah warga asing mati ditembak

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran menunjukkan sepucuk pistol jenis 38 Colt bersama empat peluru hidup dan dua kelongsong serta dua bilah parang.
Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran menunjukkan sepucuk pistol jenis 38 Colt bersama empat peluru hidup dan dua kelongsong serta dua bilah parang.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga lelaki warga asing ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di tepi jalan berhampiran Kawasan Perindustrian Ringan Alam, Bukit Mertajam, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, sepasukan polis daripada Bahagian Jenayah Berat (D9) yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan.

Mereka yang menyedari kehadiran anggota polis bertindak memecut kereta dan cuba meloloskan diri, namun terbabas ke bahu jalan.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran berkata, salah seorang suspek kemudiannya keluar daripada kereta dan bertindak melepaskan tembakan ke arah polis dan mereka juga cuba menyerang anggota dengan parang.

"Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan tembakan ke arah penjenayah sehingga keadaan reda dan tiada lagi ancaman.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati polis berjaya menumpaskan tiga penjenayah ini yang dipercayai warga asing selain menemui senjata di dalam kereta yang dinaiki mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Antara senjata yang ditemui sepucuk pistol jenis 38 Colt bersama empat peluru hidup dan dua kelongsong serta dua bilah parang.

Turut ditemui beberapa peralatan dipercayai bagi melakukan kegiatan pecah kilang seperti dua mesin pencanai, empat sarung tangan, 10 mata pencanai dan alat pemotong besi dan besi kuku kambing.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan dilakukan mendapati kumpulan ini aktif dalam melakukan jenayah dan menyasarkan kilang untuk memecah peti keselamatan bagi melarikan wang tunai yang disimpan di dalam premis terbabit.

Sebelum kejadian, mereka dikatakan cuba memecah masuk sebuah kilang di sekitar kawasan perindutrian berkenaan.

"Polis masih menyiasat kewarganegaraan suspek dan dengan tertumpasnya penjenayah ini, kita percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes samun dan pecah kilang di negeri ini melibatkan kerugian sehingga RM620,000 sejak tahun 2018.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya.