Tiada tempoh cuti ditetapkan kepada Paul Yong

Ahmad Faizal ketika bercakap kepada pemberita hari ini.
Ahmad Faizal ketika bercakap kepada pemberita hari ini.
A
A
A

IPOH - Tiada tempoh masa ditetapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong untuk bercuti daripada tugas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pelepasan itu diberi bagi membolehkan wakil rakyat DAP itu fokus terhadap perbicaraan pertuduhan rogol yang dihadapinya di mahkamah.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan segala tugas-tugas rasmi yang berkaitan dengan portfolio akan dipegang sementara oleh beliau, namun Paul Yong masih boleh meneruskan tugas selaku wakil rakyat.

"Kita bersetuju dengan keputusannya untuk bercuti dan saya fikir ia satu tindakan tepat sehinggalah kita fikirkan tindakan yang terbaik, cuma ketika ini tidak perlulah kita nak tetapkan jangka masa.

"Dari segi portfolio, itu boleh berjalan seperti biasa dan saya sendiri boleh pikul tanggungjawab tersebut.

"Sebagai contoh, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan pada masa sama, saya merupakan Pengerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), jadi tiada masalah di situ," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau turut memberi jaminan, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa meskipun ketiadaan seorang Exco pada ketika ini.

Katanya, adalah penting untuk Paul Yong fokus kepada kes dihadapi dan kerajaan pula perlu untuk meneruskan tanggungjawab menjalankan pentadbiran dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak lihat ia akan mendatangkan masalah buat barisan Exco lain kerana selama ini pun sebarang keputusan dibuat adalah melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK)," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui pada program Kempen Sayangi Sawitku bersama Penjawat Awam Negeri Perak sempena lawatan kerja Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Paul Yong akur bercuti dari tugas rasmi