Wanita lesap RM224,700 diperdaya 'Inspektor Zahari'

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara terlalu panik selepas diberitahu terlibat dengan pengubahan wang haram, seorang wanita di sini mengalami kerugian RM224,700.

Wanita berusia 58 tahun itu melakukan 58 transaksi wang ke dalam enam akaun bank diberikan dalam tempoh sembilan hari bermula pada 23 Julai sehingga 1 Ogos lalu.

Menurut sumber, seorang wanita tidak dikenali telah menghubungi nombor telefon rumah mangsa kira-kira jam 8.45 pagi pada 23 Julai lalu.

Katanya, tanpa memperkenalkan diri, wanita terbabit memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan memintanya berhubung dengan pegawai polis.

"Talian terus disambungkan kepada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Zahari' sebelum memberitahu nama mangsa terlibat dalam kes jenayah susulan penahanan seorang suspek sebelum ini.

"Mangsa dimaklumkan sekiranya ingin menyelesaikan kes tersebut, dia perlu membuat bayaran sebelum memberikan enam nombor akaun bank berbeza," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas sumber, kerana terlalu panik, wanita itu terus membuat transaksi wang selepas talian diputuskan sehingga yang terakhir pada 1 Ogos lalu iaitu sebanyak 58 kali.

"Suspek berjanji akan menyelesaikan masalah itu selepas pembayaran dibuat seperti yang diarahkan sebelum memberikan nombor telefon untuk dihubungi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, setelah selesai membuat semua pembayaran diarahkan, mangsa baru tersedar dirinya sudah ditipu kerana mendapati nombor telefon diberikan tidak dapat dihubungi meskipun sudah dicuba setiap hari. Mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu pada Ahad lalu.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.