AHM lega Carcosa Seri Negara tidak akan dijual

Laporan Sinar Harian, semalam.
Laporan Sinar Harian, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Asian Heritage Museum (AHM) menyambut baik jaminan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bangunan Carcosa Seri Negara yang berusia lebih setengah abad itu tidak akan dijual.

Penasihat Media AHM, Azmi Anshar berkata, Akta Warisan Kebangsaan 2005 dengan jelas menunjukkan perlindungan serta pemeliharaan ke atas tempat, tapak dan bangunan yang telah dianggap sebagai warisan kebangsaan.

Bagaimanapun menurutnya, AHM amat berharap MOTAC dapat menunjukkan seksyen atau peruntukan yang boleh menghalang penjualan tapak warisan baik oleh pihak kerajaan mahupun milik persendirian.

"AHM gembira dengan jaminan Ketua Setiasuaha MOTAC, Datuk Isham Ishak bahawa kerajaan tidak akan menjual Carcosa Seri Negara dan juga akan berusaha keras untuk memelihara harta kebangsaan negara yang ikonik dan unik.

"Sebagai penyewa Carcosa Seri Negara, kami juga gembira dengan jaminan Isham bahawa Kerajaan bersedia untuk bekerjasama dengan sektor swasta, seperti mana yang kita lakukan untuk membangunkan bangunan penjajah yang kini diabaikan dan memerlukan RM20 juta pemulihan, pembaikan, penyelenggaraan serta bil operasi," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Azmi berkata, semasa menyewa lokasi bersejarah berkenaan, AHM telah membuat pencapaian luar biasa dan pembiayaan sendiri untuk membaik pulih kerosakan serta kerosakan yang telah dibiarkan bertahun lamanya di dua bangunan berkenaan.

Menurutnya, AHM berhadapan dengan masa-masa sukar memandangkan tiada pembiayaan kerajaan dan bantuan selain AHM tidak mempunyai dana yang diperlukan untuk melaksanakan pemulihan, pembaikan dan penyelenggaraan yang diperlukan.

"Kami mengendalikan dan menguruskan Carcosa Seri Negara dengan kerugian kewangan berjuta-juta.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun Isham menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh menjalankan aktiviti perniagaan di Carcosa Seri Negara, AHM telah berjaya mengadakan pameran Jalan Merdeka yang sangat berjaya sejak 31 Ogos 2017 yang menjejaki laluan lama ke arah Merdeka 1957, selain membuka penyewaan pelbagai acara peribadi, makan malam, pameran televisyen dan filem," katanya.

Semalam, MOTAC memberi jaminan bangunan Carcosa Seri Negara itu tidak akan dijual kerana bangunan itu adalah bangunan warisan yang dilindungi di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Menurutnya, MOTAC mengambil alih Carcosa Seri Negara daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada Mei lalu dan kini sedang beekrjasama dengan Jabatan Kerja Raja (JKR) untuk menjalankan analisis forensik bagi memeriksa keselamatan bangunan.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan bangunan bersejarah yang dipercayai bernilai lebih RM1 bilion itu terbiar dan semakin usang dimamah usia.

Pakar sejarah mencadangkan kerajaan memulihara dan membaik pulih rumah agam bersejarah berkenaan kerana bangunan tersebut pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 sekali gus berkait rapat dengan kemerdekaan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Carcosa makin buruk sejak kami keluar’