Israel potong separuh jumlah bahan api ke Genting Gaza

 Aktiviti harian penduduk Palestin terjejas akibat catuan bekalan kuasa
Aktiviti harian penduduk Palestin terjejas akibat catuan bekalan kuasa
A
A
A

TEL AVIV - Israel semalam memotong separuh daripada jumlah bahan api yang dibekalkan kepada loji kuasa tunggal di Gaza kononnya sebagai respons terhadap serangan roket dari wilayah Palestin.

Tiga roket dilancarkan ke selatan Israel pada Ahad lalu dan dua daripadanya didakwa dipintas sistem antimisil Iron Dome.

COGAT yang juga sebuah unit di Kementerian Pertahanan bertindak menyelaraskan isu awam dengan Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza memaklumkan langkah itu akan mengurangkan separuh output loji kuasa tersebut.

"Ia sebagai hukuman ke atas pelanggaran berterusan terhadap kestabilan dan keselamatan di Israel. Ia akan berkuat kuasa sehingga notis selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa tahun lalu, Genting Gaza berdepan catuan bekalan elektrik dan masalah bekalan kuasa yang kronik.

Jurucakap syarikat bekalan kuasa Gaza, Mohammad Thabet menyifatkan keputusan itu sebagai 'hukuman kolektif'.

"Kami sememangnya sudah berada dalam krisis dan Tel Aviv memburukkan lagi keadaan itu. Ia pasti akan memberi impak yang besar terhadap dua juta penduduk dan perkhidmatan penting seperti hospital," katanya.

Ketika ini, penduduk hanya mendapat enam jam bekalan kuasa elektrik disusuli 12 jam mereka terpaksa bergelap.

Artikel Berkaitan:

Pemotongan bekalan bahan api itu akan mengurangkan lagi jumlah tersebut kepada hanya empat jam sehari. - AFP