JAIM lulus 391 sijil halal sehingga Julai lalu

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meluluskan 391 permohonan syarikat di negeri ini merangkumi tujuh sektor bagi pensijilan halal Malaysia sehingga Julai lalu.

Pengarah JAIM, Md Azhan Samat berkata, daripada jumlah itu syarikat dari sektor produk makanan mencatatkan pemegang sijil pengesahan halal paling tinggi iaitu 283, diikuti premis makanan (45), hotel (37), barang gunaan (13), rumah sembelih (tujuh), pengeluar peralatan tulen (OEM) (empat) dan kosmetik (dua).

“Sijil halal ini dikeluarkan selepas syarikat terlibat mematuhi aspek syariah, kebersihan, kesucian dan keselamatan seperti digariskan dalam panduan halal Malaysia.

“Sekiranya ada syarikat atau industri di negeri ini yang ingin mengetahui bagaimana cara permohonan sijil halal, boleh hubungi Bahagian Pengurusan Halal JAIM di talian 06-3333333 sambungan 3612,” katanya di sini.

Menurutnya, kadar caj bayaran permohonan adalah serendah RM200 bagi industri kecil, RM800 bagi industri kecil dan sederhana (IKS) serta RM1,400 bagi industri multinasional.

"Setiap sijil pengesahan halal yang dikeluarkan JAIM adalah sah laku bagi tempoh dua tahun dan sebarang permohonan pembaharuan sijil hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tamat sijil sedia ada," katanya.

411 permohonan pensijilan halal diterima JAIM pada tahun lalu berbanding 388 pada 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: