Jangan bimbang hantar anak ke tahfiz

 Datuk Seri Abdul Rahman Osman
Datuk Seri Abdul Rahman Osman
A
A
A

KUANTAN – Pejabat Mufti Pahang berharap semua pihak terutama ibu bapa tidak bimbang menghantar anak-anak mereka mempelajari ilmu agama di pusat tahfiz.

Muftinya, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, apatah lagi pusat tahfiz yang berdaftar di negeri ini hanya kerana sebilangan kecil isu panas bersabit kes tahfiz, diuar-uarkan di media,

Menurutnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pejabat Mufti serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sentiasa memantau, menjaga dan mengawal selia pusat berdaftar serta memandang serius isu pusat tahfiz.

“Usah membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi tahfiz hanya disebabkan perkara terpencil. Mengambil contoh kisah kebakaran atau bencana, kemudahan pusat tahfiz ada yang memerlukan bantuan dan kita tak nafikan dari segi itu.

“Namun dari segi kisah lain seperti liwat dan salah guna kuasa adalah perkara terpencil dan bukan semua pusat tahfiz bersikap sebegitu. Tahfiz adalah tempat membersihkan jiwa, berakhlak mulia dan biasanya tempat orang nak buat baik. Kalau jahat juga, itu perkara yang terpencil.

Abdul Rahman turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membesarkan isu berkenaan kerana institusi agama itu adalah asas untuk mempelajari agama.

“Manusia ini tidak terlepas dari kesilapan. Jangan menjadikan isu seperti itu satu perkara besar. Banyak lagi kes besar di tempat lain yang saya tahu bahawa ada sekolah asrama penuh pun ada gejala yang tidak sihat antara pelajar sesama pelajar,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu ibu bapa yakin untuk menghantar anak-anak menuntut ilmu agama di sekolah tahfiz sambil memerhatikan beberapa elemen sebelum membuat pilihan sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Buatlah pilihan yang terbaik dengan bijak. Apabila nak hantar anak, ibu bapa mesti melihat sekolah tersebut. Sekolah kerajaan pun kita tengok dan pantau juga. Bukan semua boleh kita hantar. Kena lihat sistem sekolah itu serta faktor fasiliti, atau ciri-ciri keselamatan dan kemudahannya.

“Di negeri Pahang kita sentiasa mempertimbangkan pelaksanaan untuk menambah baik dan memperkemaskan sistem urus tadbir institusi pendidikan tahfiz.

"Kita ada jawatankuasa pemantau secara berkala urus tadbir dlam memastikan kebajikan pelajar maahad tahfiz di setiap kawasan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi.