Berkonvoi bawa mesej patriotik

Amiruddin (empat dari kiri) menyempurnakan pelepasan peserta konvoi di Dataran Darulaman di sini.
Amiruddin (empat dari kiri) menyempurnakan pelepasan peserta konvoi di Dataran Darulaman di sini.
A
A
A

JITRA - Pelbagai cara dilakukan pelbagai pihak bagi membangkitkan semangat cintakan negara sempena sambutan bulan kebangsaan.

Kemeriahan tersebut turut disemarakkan lebih 300 peserta menaiki motosikal yang dihiasi bendera pada Konvoi Jelajah Merdeka Parlimen Kubang Pasu yang menjelajah sejauh 126 kilometer di sekitar daerah ini, Sabtu lalu.

Pengarah program, Shafizan Taib berkata, konvoi melibatkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum itu bermula di Dataran Darulaman dan berakhir di Pusat Komuniti Desa Napoh.

"Melihat sambutan yang sangat mengujakan pada tahun lalu, maka kami bersepakat untuk menganjurkannya pada skala yang lebih besar iaitu di peringkat Parlimen pada tahun ini.

Halimaton Shaadiah sempat bergambar bersama salah seorang peserta konvoi.
Halimaton Shaadiah sempat bergambar bersama salah seorang peserta konvoi.

"Alhamdulillah, pada tahun ini juga sokongan peserta masih tidak berbelah bahagi.

"Mereka menunjukkan semangat patriotik yang sangat tinggi walaupun rata-ratanya golongan muda," katanya sambil memberitahu penganjuran program sama turut diadakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum itu berkonvoi melalui laluan membabitkan lebih 50 buah kampung.

Artikel Berkaitan:

Antaranya melibatkan zon Wang Tepus, Kepala Batas, Naga, Jitra, Tunjang, Jeram, Hosba, Sungai Laka Temin dan Kubang Pasu.

Shafizan berkata, program itu juga bertujuan mempamerkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini walaupun terdapat isu-isu kecil yang cuba dicetuskan segelintir pihak untuk memecahbelahkan perpaduan.

Peserta konvoi melalui kawasan kampung di sekitar Daerah Kubang Pasu yang keseluruhannya sejauh 126 kilometer.
Peserta konvoi melalui kawasan kampung di sekitar Daerah Kubang Pasu yang keseluruhannya sejauh 126 kilometer.

Sementara itu, seorang peserta, Auni Najwa Mat Saad, 20, berkata, program sedemikian dapat membangkitkan semangat patriotik dalam dirinya selain dapat menambah kenalan daripada pelbagai kaum.

"Lagipun suasana konvoi ini membuktikan bahawa perpaduan antara rakyat Malaysia ini masih utuh dan menyemai perasaan sayangkan negara kita," katanya.

Bagi Kong Yong Sin, 40, program tersebut memberikan kesempatan untuk menunjukkan perasaan cintakan negara.

"Semoga lebih banyak program sebegini diadakan, bukan sahaja ketika sambutan Bulan Kemerdekaan malah pada Hari Malaysia, 16 September depan," katanya.

Majlis pelepasan konvoi itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah, manakala penutupnya disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad.

Para peserta berkonvoi bersama motosikal yang dihias dengan bendera.
Para peserta berkonvoi bersama motosikal yang dihias dengan bendera.