Perpaduan yang dirobek

No Image Caption
A
A
A

Apakah perpaduan kita semakin utuh atau rapuh?

Apa yang ketara, sejak akhir-akhir ini nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat semakin parah.

Ia terus dirobek dengan pelbagai isu sentimen perkauman dan agama yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Kaum Melayu dan bukan Melayu secara terang-terangan dilihat ‘berperang’ antara satu sama lain, menyatakan ketidakpuasan hati serta menzahirkan kecurigaan melalui pelbagai medium.

Kenapa jadi begini wahai rakyat Malaysia? Di mana perpaduan kita?

Sentimen demi sentimen semakin jelas dimainkan kebelakangan ini bermula dengan isu pengenalan seni khat dan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 yang akan dilaksanakan di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai tahun hadapan, insiden pergaduhan antara pengguna jalan raya di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Southville City, Kajang yang menyebabkan seorang daripada mereka, Syed Muhammad Danial Syed Syakir maut, disusuli isu penceramah terkenal, Dr Zakir Naik dan terbaharu, perbuatan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di beberapa lokasi negara termasuk himpunan bantahan di Brickfields.

Ironisnya, di televisyen umpamanya, pelbagai kempen, didikan serta mesej perpaduan dibuat tidak kira menerusi ruangan iklan, berita, program-program khas termasuk drama, malah rancangan kartun juga banyak diselitkan nilai-nilai bersatu-padu antara ketiga-tiga kaum utama negara.

Tidak kurang juga di media sosial dan media massa, banyak mesej perpaduan diterjemahkan menerusi laporan atau tulisan supaya dapat menyuntik, merangsang dan meneguh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tapi apakah usaha-usaha ini masih belum cukup untuk menjadikan kita rakyat sejati yang menghormati, menyayangi dan bertoleransi antara kaum? Walaupun semua itu dilakukan, perpaduan yang kononnya tampak sempurna itu jelas seperti diada-adakan tetapi tidak menggambarkan realiti sebenar yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Defisit kepercayaan

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, perpaduan antara rakyat berbilang kaum negara yang digembar-gemburkan itu hanya wujud pada tahap sosial di mana pergaulan sesama kaum terhad kepada kegiatan rasmi sahaja seperti pada sambutan Hari Kebangsaan, diselitkan persembahan Cina, Melayu, India serta Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kita cuba pamerkan kepada kita sendiri dan kepada pelancong bahawa itulah perpaduan iaitu perpaduan yang diada-adakan untuk tujuan rasmi sahaja dan secara peribadinya jarang kita lihat ada persahabatan antara kaum yang begitu tulen dan muhibah.

Lebih memburukkan keadaan katanya, wujud defisit kepercayaan khususnya melibatkan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina serta India dan ia menjadikan perpaduan semakin jauh.

Kok Seong juga memberitahu antara penyebab perpaduan semakin parah mungkin berpunca daripada kesilapan membiarkan setiap kaum bergerak dengan cara masing-masing sehingga gagal membentuk komuniti nasional dan jelas kini, setiap kaum bergerak sebagai komuniti bangsa masing-masing.

Selain itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula melihat ancaman perpaduan kaum yang wujud di negara ini bermula daripada sikap ahli politik sendiri yang menyebabkan timbul perbalahan antara masyarakat.

Katanya, banyak hate speech yang diwujudkan di mana apabila orang-orang politik itu mahu mendapat sokongan daripada sesuatu kaum, beliau akan memberikan ucapan-ucapan yang boleh menyakitkan hati kaum lain.

Bagi menutup drama yang mengancam perpaduan negara yang semakin kritikal ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menggesa semua pihak termasuk kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili semua kaum untuk berhenti memainkan isu sentimen 3R (race, religion, royalty).

Katanya, jika sentimen itu terus dimainkan ia akan meningkatkan lagi ‘suhu’ perkauman di negara ini.

Malah katanya, data yang dikumpul Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan sentimen 3R menunjukkan peningkatan dua kali ganda pada tahun ini berbanding tahun lalu dan ia amat membimbangkan.

Melihat kegusaran pemimpin negara itu ada asasnya, maka kita sebagai rakyat Malaysia perlu lebih bimbang jika suhu perpaduan antara kita juga terus menurun dan mencapai taraf sifar.

Bukankah lebih baik kita bermuhasabah dan melihat diri dalam cermin? Kini tinggal tiga hari saja lagi menjelang Hari Kemerdekaan negara ke-62, tidak malukah kita jika masih bergaduh sesama sendiri, berpecah-belah, curiga-mencurigai sesama sendiri?

Kata Malaysia baharu! Usah sibuk melaung perpaduan di bibir saja, ayuh realisasikan dengan perbuatan jika anda benar-benar sayang kepada Malaysia.