Rumah terbakar: Tiga beranak sempat selamatkan diri

Keadaan rumah dua tingkat didiami empat beranak ini terbakar di bahagian atas pada jam 5.30 petang tadi. Gambar kecil, Azrin Ahmed.
Keadaan rumah dua tingkat didiami empat beranak ini terbakar di bahagian atas pada jam 5.30 petang tadi. Gambar kecil, Azrin Ahmed.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Tiga beranak sempat menyelamatkan diri apabila bahagian atas rumah dua tingkat mereka di Kadok terbakar pada jam 5.30 petang tadi.

Azrin Ahmed, 39, ketika itu berada di ruang tamu bersama anak saudaranya, Ahmad Nabil Haris Zamani, 21, manakala ibunya, Siti Nor Noh, 72, berada di dapur.

Menurutnya, kejadian itu disedari ibunya yang mendengar letupan kecil dari tingkat atas rumah mereka.

“Masa tu mujurlah anak saya, Aira Syakira, 2, berada di rumah sepupunya di sebelah. Lepas mak nampak api di tingkat atas, kami terus keluar rumah sebab api cepat marak. Saya jerit pada abang di rumah sebelah agar telefon bomba.

“Saya hanya sempat selamatkan barang penting dan orang kampung bantu tolak kereta keluar dari garaj sebab saya dah tak ingat di mana letak kunci kereta.

"Hanya beberapa pakaian sempat diselamatkan, itu pun dengan bantuan orang kampung,” katanya kepada Sinar Harian malam ini.

Azrin berkata, api merebak dengan cepat kerana binaan atas rumah dua tingkat itu diperbuat daripada kayu dan punca kebakaran mungkin disebabkan litar pintas.

Tambahnya, kerugian dianggarkan RM300,000 yang meliputi barangan elektrik, tidak termasuk perabot dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas ini dia akan tinggal di kediaman abangnya buat sementara waktu.

Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Ahmad Fakarudin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.33 petang dan tiba di lokasi jam 5.41 petang.

Katanya, operasi itu disertai seramai 14 anggota dari Balai Bomba Ketereh dan Balai Bomba Tunjong.

Menurutnya, ia melibatkan kemusnahan 70 peratus binaan kediaman jenis kekal dengan keluasan 40 x 40 kaki, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.