SPRM sedia siasat gangguan sistem rangkaian KLIA

Latheefa Koya (tengah) pada sesi dialog bersama syarikat berkaitan kerajaan dan industri perhotelan di sebuah hotel hari ini. Turut hadir Pengarah SPRM negeri Mohd Zaki Hassan (kanan). -Foto BERNAMA
Latheefa Koya (tengah) pada sesi dialog bersama syarikat berkaitan kerajaan dan industri perhotelan di sebuah hotel hari ini. Turut hadir Pengarah SPRM negeri Mohd Zaki Hassan (kanan). -Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat gangguan sistem rangkaian yang dikesan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak malam 21 Ogos lalu sekiranya diminta berbuat demikian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, tindakan akan diambil sekiranya pihaknya menerima aduan atau laporan berhubung perkara itu.

“Setakat ini kita belum terima sebarang aduan berhubung salah laku atau rasuah dalam isu ini. Jadi, mungkin tak ada kaitan dengan itu.

“Bagaimanapun, kita tunggu jika ada aduan baharu. Berdasarkan apa yang kita lihat, tiada hubung kait sekiranya masalah gangguan sistem tersebut atas faktor teknikal,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi dialog di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya gangguan sistem KLIA: Imigresen

KLIA dilaporkan mengalami gangguan sistem sejak Rabu malam (21 Ogos) dan dilihat semakin baik sejak Sabtu lalu selepas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya.

Gangguan tersebut telah menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi (BHS).

Terdahulu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menerusi satu kenyataan berkata, siasatan awal oleh MAHB menunjukkan gangguan disebabkan kegagalan kelengkapan rangkaian dan tiada aktiviti serangan siber dikesan melibatkan gangguan sistem rangkaian di lapangan terbang antarabangsa itu.

Artikel Berkaitan: