Pemuda UMNO desak kerajaan tidak terbit Bon Samurai

A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mendesak kerajaan tidak meneruskan hasrat untuk menerbitkan satu lagi Bon Samurai bagi menangani masalah kewangan negara.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana tindakan itu hanya akan menambah hutang negara dan memudaratkan lagi ekonomi negara.

"Mengapakah kerajaan begitu beria-ia untuk menerbitkan hutang di luar negara seperti Bon Samurai, Bon Panda dan mungkin akan ada bon terbaru diperkenalkan? Bukankah cadangan tambahan Bon Samurai terbaru ini hanya akan meningkatkan Hutang Luar Negeri negara dan juga meningkatkan risiko naik turun kadar mata wang bagi hutang-hutang ini sekali gus nilai muktamad pinjaman berkenaan di masa hadapan.

"Paling pokok, bukankah fokus utama pentadbiran Pakatan Harapan (PH) khususnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah mengurangkan hutang negara?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf mendakwa, makin terserlah sandiwara Guan Eng dan kerajaan PH bahawa hakikatnya merekalah sebenarnya bertanggungjawab merealisasikan apa yang sering dimomokkan iaitu bahawa hutang negara RM1 trilion.

"Pemuda UMNO berasa amat pelik dengan cadangan ini sedangkan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan selepas mengambil alih kuasa pada Mei 2018 yang lepas, kerajaan PH begitu bersungguh-sungguh mencanangkan kepada rakyat bahawa Malaysia akan bankrap dan hutang negara telah melebihi RM1 trilion.

"Ironinya, pada Mac 2019, kerajaan Persekutuan telah berjaya menerbitkan Bon Samurai bernilai 200 bilion Yen bersamaan RM7.4 bilion. Walaupun beberapa pihak mempertikaikan rasional keputusan ini lantaran hanya memfokuskan kepada kadar faedah pinjaman yang rendah iaitu 0.65 peratus, sedangkan terdedah kepada risiko kadar pertukaran mata wang Yen Jepun yang tinggi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia kaji satu lagi tawaran bon Samurai dari Jepun: PM


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia