476 jemaah haji termasuk senator, terkandas di Jeddah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 476 jemaah haji Malaysia termasuk seorang Senator dipercayai di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji (TH) terkandas di Jeddah sejak Sabtu lepas, disebabkan penjadualan semula waktu penerbangan mereka.

Senator Datuk Isa Ab Hamid antara yang terkandas, berkata beliau difahamkan penangguhan jadual penerbangan itu berikutan berlakunya masalah teknikal terhadap pesawat yang sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 24 Ogos lepas.

Beliau berkata sehingga kini, pengurusan TH masih belum memaklumkan tarikh dan masa jadual penerbangan pulang dari Jeddah ke Malaysia selepas penangguhan itu.

Isa, yang masih berada di Jeddah ketika ini, berkata perkara ini telah mengakibatkan kebanyakan jemaah haji mengalami tekanan emosi berikutan kekurangan wang serta tidak mempunyai persalinan pakaian yang mencukupi.

"Hari ini sudah masuk hari ketiga (terkandas) dan masih tiada jadual balik. Kebanyakan jemaah haji pula, tiada wang tambahan dan pakaian pula ada dalam bagasi yang mana bagasi mereka ada dalam kapal terbang.

"Ramai jemaah haji menjadi tertekan dan pegawai kaunseling pula belum disediakan sehingga kini," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini, sambil menambah bahawa kesemua jemaah haji yang terkandas menginap di dua buah hotel di Jeddah ketika ini.

Menurutnya lagi, kebanyakan jemaah haji yang terkandas berasal dari Johor, Kelantan dan Kedah.

Bagaimanapun, beliau berkata pengurusan TH sangat membantu dalam aspek penginapan, makan dan minum serta pengangkutan sepanjang tempoh terkandas.

Artikel Berkaitan:

"Khidmat pegawai perubatan atau doktor telahpun disediakan TH bagi merawat beberapa jemaah haji yang tidak sihat.

"... tetapi banyak perkara perlu ditambahbaik dalam pengurusan haji terutamanya apabila berlaku krisis sebegini atau masalah di luar jangkaan," katanya. - Bernama