Kerajaan Australia sekat laman web ekstrim

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CANBERRA - Kerajaan Australia akan menyekat akses ke laman web yang mempunyai unsur keganasan melampau dan merbahaya, lapor agensi berita Xinhua.

Perdana Menteri, Scott Morrison, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Peter Dutton dan Menteri Komunikasi dan Keselamatan Siber Paul Fletcher mengumumkan perkara itu pada Ahad.

Di samping itu satu rangka kerja untuk menyekat kandungan yang mempunyai unsur keganasan akan diwujudkan, sebagaimana disyorkan sebuah pasukan petugas memerangi keganasan dan bahan berunsur ekstrim yang terdapat dalam talian.

Morrison berkata, langkah terbaru itu akan menghalang rakyat Australia terdedah kepada peristiwa ganas seperti serangan di Christchurch.

Australia kini melancarkan usaha untuk mengesan gergasi teknologi yang menyebabkan penyebaran kandungan ganas sejak serangan Christchurch pada Mac.

Dalam kejadian itu lelaki Australia, Brenton Tarrant, menyerang dua buah masjid mengorbankan 51 orang.

"Insiden menggemparkan yang berlaku di Christchurch itu menunjukkan bagaimana platform digital dan laman web dapat dieksploitasi untuk menyebarkan perkara mempunyai unsur keganasan," katanya dalam kenyataan media.

Kerajaan sebelum ini telah meluluskan undang-undang membolehkan gergasi teknologi seperti Facebook, Google dan Twitter dikenakan tindakan penjara sehingga tiga tahun jika platform mereka gagal menghapuskan "bahan berunsur keganasan dan kejam" secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Dutton berkata, Gabungan Parti Liberal Kebangsaan yang ada sekarang akan terus mengambil tindakan tegas untuk memastikan apa jua kandungan mempunyai unsur keganasan langsung tidak mempunyai tempat di Australia.- Bernama