Peruntuk RM5.11j bina, baik pulih rumah: LZNK

Seorang penerima bantuan bulanan, Hamid Awang Don (tiga dari kiri) menerima kit bantuan daripada Syeikh Zakaria di rumahnya di Kampung Naga dekat sini.
Seorang penerima bantuan bulanan, Hamid Awang Don (tiga dari kiri) menerima kit bantuan daripada Syeikh Zakaria di rumahnya di Kampung Naga dekat sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah memperuntukkan sebanyak RM5.11 juta bagi membantu membina dan membaik pulih rumah di seluruh Kedah sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya akan melantik kontraktor untuk membina rumah tersebut dengan nilai RM43,000 selepas menerima setiap permohonan.

Menurutnya, LZNK setakat ini telah membina sebanyak 62 rumah dengan nilai keseluruhan RM2.66 juta.

"Sebanyak 110 rumah pula menerima bantuan baik pulih dengan kos membabitkan RM2.45 juta bermula Januari sehingga Ogos tahun ini.

"Bantuan baik pulih bagi sebuah rumah adalah tidak melebihi RM25,000.

Syeikh Zakaria (dua dari kanan) menyampaikan kit bantuan kepada Ahmad Jusoh yang turut menerima bantuan bina rumah daripada LZNK di Kampung Pulau Kechil, Pulau Pisang Tunjang dekat sini.
Syeikh Zakaria (dua dari kanan) menyampaikan kit bantuan kepada Ahmad Jusoh yang turut menerima bantuan bina rumah daripada LZNK di Kampung Pulau Kechil, Pulau Pisang Tunjang dekat sini.

"LZNK menerima permohonan yang tinggi untuk membina rumah daripada mereka yang layak, namun sebahagian besar gagal memenuhi syarat iaitu mempunyai tapak tanah sendiri yang sah untuk membina rumah tersebut," katanya kepada media selepas menziarahi tiga keluarga asnaf dan Konvoi Kembara Merdeka 350 tahun Zakat Kedah di Masjid Sultan Rijaluddin, Kampung Naga dekat sini.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya seseorang pemohon tidak mempunyai tanah tetapi mempunyai keizinan secara bertulis untuk membina rumah di atas tanah orang lain, perkara tersebut dibolehkan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, lebih 100 peserta mengikuti jelajah konvoi sejauh 56 kilometer bermula di Menara Zakat Alor Setar dan berakhir di Masjid Sultan Rijaluddin Kampung Naga.

Syeikh Zakaria (kanan) mengetuai Konvoi Kembara Merdeka 350 tahun Zakat Kedah keluar dari pekarangan Maahad Dini selepas melawat kawasan tersebut di Alor Setar hari ini.
Syeikh Zakaria (kanan) mengetuai Konvoi Kembara Merdeka 350 tahun Zakat Kedah keluar dari pekarangan Maahad Dini selepas melawat kawasan tersebut di Alor Setar hari ini.

Syeikh Zakaria berkata, antara pengisian program adalah singgah di Maahad Dini Alor Setar, mengedarkan risalah zakat di Tapak Pasar Minggu Sungai Korok, Jitra dan singgah di Makam Sultan Muhyidin Mansor Syah, Kampung Chegar, Mukim Jeram, Kota Siputeh untuk mendengar penerangan sejarah yang mempunyai kaitan dengan zakat di Kedah.

"Program ini diadakan untuk memaklumkan mengenai perkembangan sistem zakat di Kedah yang secara rasmi telah bermula sejak 350 tahun lalu.

"Saya mengucapkan jutaan terima masih kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi awam yang terlibat.

"Ramai peserta dapat maklumat terbaru kerana ramai daripada mereka tidak mengetahui mengenai sejarah dan makam kesultanan yang ada ini," katanya.