Perak pengeluar terbesar industri perikanan marin

Sultan Nazrin berkenan melihat hidupan laut iaitu gamat laut ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Bangunan Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Seri Manjung hari ini. - Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan melihat hidupan laut iaitu gamat laut ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Bangunan Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Seri Manjung hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LUMUT - Perak merupakan penyumbang terbesar kepada industri perikanan marin negara apabila merekodkan pengeluaran sebanyak 266,556 tan metrik bagi seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, Perak juga menyumbang secara signifikan bagi sektor akuakultur antaranya projek ternakan udang laut dalam kolam di Rungkup Hilir dengan keluasan 2,175 hektar.

“Selain itu, turut terdapat projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar di Tasek Temenggor, Hulu Perak dan Tasik Kenering, Hulu Perak dengan masing-masing berkeluasan 100 hektar serta aktiviti hatceri atau nurseri di Sungai Dala dengan keluasan 81 hektar.

“Setakat ini, Perak mempunyai seramai 15,500 orang nelayan dan 4,021 vesel dari Zon A, Zon B, Zon C dan Zon C2,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak di Seri Manjung hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan bangunan berkenaan.

Turut berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Tze Tzin berkata, beliau berharap kerajaan Perak sentiasa memberi sokongan untuk terus membangunkan sektor agromakanan khususnya dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi mendepani cabaran pada masa kini seperti peningkatan harga input pertanian, perubahan iklim, sumber terhad dan permintaan yang tinggi.

"Dalam hal ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedia bekerjasama dengan kerajaan Perak untuk merangka satu pelan pembangunan dan pengurusan tanah pertanian agar tanah pertanian sedia ada dapat dioptimumkan.

Artikel Berkaitan:

"MOA melalui LKIM sentiasa komited dalam usaha memajukan industri perikanan di samping meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat nelayan seperti pelaksanaan program baik pulih, bina baharu dan penempatan semula nelayan," katanya.

Menurutnya, sebanyak RM197.2 juta telah diluluskan di bawah Program Baik Pulih Rumah Nelayan LKIM yang melibatkan 19,214 orang penerima dalam kalangan nelayan pantai dan RM30.1 juta bagi 3,053 orang nelayan darat.

"Bagi negeri Perak, projek Penempatan Semula Nelayan di Teluk Baru dan di Pasir Bogak, Pulau Pangkor yang telah siap dibina pada 2018 bakal menempatkan seramai 178 nelayan. Projek ini mula dibina pada 2014 dengan kos RM24.4 juta," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin rasmi bangunan pejabat LKIM Perak