Hukuman penjara pemandu lori kekal

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak rayuan tertuduh, A Rahman dan mengekalkan hukuman dua tahun penjara yang dikenakan sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak rayuan tertuduh, A Rahman dan mengekalkan hukuman dua tahun penjara yang dikenakan sebelum ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori terpaksa akur apabila Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman dua tahun penjara yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Tertuduh, A Rahman Ibrahim, 64, sebelum ini didapati bersalah atas tuduhan melakukan khianat dengan merobohkan dinding kedai makan milik bekas isterinya pada September tiga tahun lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 15 November tahun lalu menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh dari Kampung Beladau Selat, di sini didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merobohkan dinding hadapan kedai hingga menyebabkan pemilik, Cik Hasyati Mansor, 46, menanggung kerugian RM500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai makan di Kuala Ibai, di sini, jam 8.30 malam pada 4 September 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam bela Nik Radhia daripada Firma Guaman Alda Shukri.

Abdul Wahab turut mengarahkan hukuman penjara berjalan bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tindakan tertuduh merosakkan dinding milik kedai makan mangsa turut disaksikan anak lelakinya dan jiran, sebelum wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

Perselisihan faham dan dendam terhadap bekas isterinya itu dikatakan menjadi punca tertuduh bertindak demikian.