Johor junjung kasih titah Pemangku Raja

Dr Sahruddin mendengar penerangan disampaikan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim mengenai Kempas Interchange.
Dr Sahruddin mendengar penerangan disampaikan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim mengenai Kempas Interchange.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengambil maklum titah Pemangku Raja, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim agar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang ditutup sementara demi keselamatan pelajar.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Pemangku Raja dan berharap Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengambil maklum saranan Tunku Mahkota Ismail itu.

"Saya ambil maklum dan menjunjung kasih atas titah daripada Pemangku Raja.

"Insya-ALLAH, saya harapkan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor ambil maklum atas titah yang telah disampaikan oleh Pemangku Raja," katanya ketika ditemui selepas hadir Majlis Pecah Tanah Kempas Interchange IRDA di Taman Setia Tropika, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai titah saranan Tunku Ismail, hari ini susulan kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, dekat Iskandar Puteri.

Sahruddin berkata, kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan sentiasa berusaha sebaik mungkin memastikan kebakaran hutan di Kampung Pekajang diselesaikan segera.

Ditanya mengenai prosedur pembenihan awan katanya, ia merupakan salah satu perancangan kerajaan negeri.

"Namun, kita tunggu dulu daripada agensi berkaitan adakah perlu atau tidak pembenihan awan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga akan melakukan semakan ke atas status tanah terlibat dalam kebakaran hutan tersebut yang berkemungkinan terdapat beberapa milikan.

Menjawab pertanyaan media berhubung operasi pusat pentadbiran Kerajaan Johor di Kota Iskandar, Sahruddin memaklumkan sehingga ke saat ini, pengoperasian masih berjalan seperti biasa.