X

Kindly register in order to view this article
!

JPJeBid kutip bidaan lebih RM16 juta

Rusdi (tiga dari kiri) menunjukkan antara nombor yang dibuka untuk pembidaan kali ini.
A
A

KOTA BHARU - Sejak diperkenalkan April lalu, Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah berjaya mengutip hasil bidaan sebanyak lebih RM16 juta.

Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, nilai kutipan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan 14 siri pembidaan yang menggunakan sistem tersebut di beberapa negeri.

"Untuk kali ini, kita lancarkan eBid untuk Kelantan dan Pahang sekali gus dan kita juga buka untuk bidaan pendaftaran baharu untuk kedua-dua negeri ini.

"Kita jangkakan hujung November nanti penggunaan eBid akan menyeluruh kepada semua negeri. Sebelum ini, kita telah buat di Pulau Pinang, Sabah, Kedah, Putrajaya, Johor Bahru, Kuala Lumpur.

"Sistem ini juga lebih telus dan cepat, berbanding cara sebelum ini, pembida perlu ke pejabat JPJ untuk melakukan pendaftaran dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar pelancaran JPJeBid di JPJ Kelantan di sini hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan nombor pendaftaran baharu Kelantan iaitu DDP dan Pahang, CEE.

Turut hadir, Pengarah JPJ Pahang, Muhammad Abdullah; Pemangku Pengarah JPJ Kelantan, Azhan Abdul Hadi dan Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir.

Mengulas lanjut mengenai bidaan nombor CEE dan DDP, beliau berkata, bidaan akan mula dibuka pada 30 Ogos pada jam 12 tengah malam dan berlangsung selama lima hari sehingga 3 September pada jam 11.59 malam.

Menurutnya, keputusan penuh akan dimaklumkan pada 4 September.

Rusdi berkata, harga bidaan tersebut mengikut kategori iaitu nombor utama bernilai RM20,000, nombor menarik RM3,000, nombor popular RM800 dan nombor biasa RM300.

"Setiap kategori tersebut akan menggunakan kadar kenaikan bidaan minima sebanyak 5 peratus mengikut harga nombor. Kaedah bayaran pula menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.

"Pembida boleh membida sebanyak mana nombor yang mereka minat dengan pembayaran pendaftaran RM10 bagi setiap nombor yang dibida. Tiada sekatan untuk melakukan pembidaan," katanya.

Beliau berkata, setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala syarikat pula tidak melebihi lima kenderaan.

Rusdi turut memberitahu, dengan sistem JPJeBid tersebut, pembida boleh mengetahui kedudukan tanpa melibatkan unsur campur tangan manusia.

Katanya, mana-mana nombor yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman dikeluarkan JPJ negeri atau cawangan.