Sultan Nazrin rasmi bangunan pejabat LKIM Perak

Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pejabat LKIM Perak di sini hari ini.
Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pejabat LKIM Perak di sini hari ini.
A
A
A

LUMUT - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan bangunan pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, Seri Manjung di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran diikuti bacaan doa sebelum baginda berkenan menandatangani plak perasmian bangunan pejabat berkenaan di atas pentas utama sambil disaksikan ratusan rakyat negeri ini yang hadir sama.

Untuk rekod perancangan pembinaan bangunan baru Pejabat LKIM Perak bermula dengan pemilikan tapak asal oleh LKIM pada April 2011 dan Ketua Pengarah LKIM sebagai Pegawai Penguasa Projek.

Pembinaan sebuah blok bangunan pejabat empat tingkat di atas lot 13743, Mukim Sitiawan ini menyediakan pelbagai fasiliti kepada warga LKIM Perak seperti sebuah dewan serbaguna, tempat letak kereta berbumbung dan tempat letak kereta tidak berbumbung, satu unit pondok pengawal dan satu unit pencawang elektrik.

Bangunan ini dibina dengan kos sebanyak RM7.6 juta berkonsepkan seakan Ibu Pejabat LKIM di Pulau Meranti, Puchong, Selangor di mana ia telah siap sepenuhnya pada 1 Januari 2015.

Ruang pejabat ini mampu memuatkan 62 kakitangan di mana dilengkapi dengan pejabat urusan bahagian di setiap tingkat seperti Bahagian Khidmat Pengurusan, Bilik Kelab Rekreasi, Kafeteria, Dewan LKIM; Bahagian Industri Asas Tani, Bahagian Audit Dalam, Bahagian Pemasaran & Perlesenan dan lain-lain lagi.

Artikel Berkaitan: