Gojek: PDMK dakwa bunuh pendapatan pemandu teksi

Ahli-ahli PDMK yang membantah pelaksanaan Gojek di Hentian Teksi Kluang di sini hari ini.
Ahli-ahli PDMK yang membantah pelaksanaan Gojek di Hentian Teksi Kluang di sini hari ini.
A
A
A

KLUANG - Persekutuan Drebar-Drebar Melayu Kluang (PDMK) membantah cadangan kerajaan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek di negara ini.

Yang dipertuanya, Mustakim Jalel berkata, beliau menjangka perkhidmatan tersebut akan merumitkan lagi keadaan dan membunuh pendapatan pemandu teksi walaupun berkemungkinan Gojek tidak beroperasi di bandar-bandar kecil seperti Kluang, Batu Pahat atau Segamat.

"Walaupun hanya satu penumpang yang boleh membonceng, namun mereka mampu memperoleh pendapatan agak lumayan berikutan perjalanan tidak terhalang walaupun dalam keadaan kesesakan lalu lintas.

"Sekiranya Gojek turut dibenarkan beroperasi di bandar-bandar kecil, sudah pasti penumpang kami akan lebih mudah 'dicuri' oleh kumpulan ini dan ianya sudah pasti mengurangkan jumlah pendapatan harian yang teruk terjejas pada masa kini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat bantahan terhadap Gojek di Hentian Teksi Kluang di sini hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut tidak diperlukan di negara ini kerana penyediaan pengangkutan awam sudah terlalu banyak seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), komuter, bas, teksi dan Grab.

Menurutnya, banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum pelaksanaan Gojek diluluskan terutama berkaitan nasib pemandu teksi.

"Bukan bermakna kami menentang perancangan kerajaan untuk menyediakan pekerjaan kepada anak-anak muda masa kini, namun kerajaan juga perlu memikirkan terlebih dahulu nasib kami sebagai warga tua yang mengusahakan perkhidmatan teksi ini.

Artikel Berkaitan:

"Malah, saya merasakan ia bukan jalan penyelesaian kepada penyediaan pekerjaan kepada anak-anak muda dan saya bimbang Gojek ini hanya akan meningkatkan lagi kadar kemalangan jalan raya melibatkan motosikal selain masalah sosial," katanya.