Darah beku punca kematian ibu selepas bersalin

A
A
A

KEMATIAN mengejut wanita selepas bersalin salah satunya adalah akibat sesak nafas. Puncanya kerana terdapat darah beku pada paru-paru atau mengalami pulmonory embolism (PE).

AKTIF bergerak selepas bersalin untuk mengawal pembekuan darah.
AKTIF bergerak selepas bersalin untuk mengawal pembekuan darah.

Apa itu PE?

Pulmonory embolism (PE) iaitu cebisan darah beku masuk ke peredaran darah ke paru-paru yang menyebabkan saluran darah peparu tersumbat.

Ibu hamil dan bersalin berisiko mengalami PE kerana kandungan darah mereka ketika itu lebih pekat daripada kebiasaannya.

Selain itu, pembesaran bayi dalam kandungan menekan saluran darah. Hal itu menyebabkan saluran darah utama menjadi kurang lancar, kemudiannya menyebabkan terbentuk darah beku di saluran darah pada betis.

Terdapat juga sebab lain seperti ibu yang melalui proses pembedahan dan darah beku terbentuk kerana kurangnya pergerakan selepas bersalin.

Darah beku terbentuk akan berkumpul pada bahagian betis, ibu akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan sakit ketika berjalan.

Artikel Berkaitan:

Gejala itu perlu diberi rawatan awal, jika tidak darah beku dalam saluran darah boleh bergerak pada bila-bila masa di saluran paru-paru. Ia boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.

Ibu lebih berisiko diserang PE sekiranya dalam situasi:

- Berumur lebih daripada 36 tahun.

- Mengalami dehidrasi atau kurang air dalam badan.

- Bersalin secara pembedahan.

- Ibu ada penyakit darah tinggi semasa hamil dan berterusan selepas bersalin.

- Mengalami masalah air ketuban banyak.

- Melahirkan anak kembar.

- Ibu pernah berhadapan masalah darah beku sebelum dan semasa mengandung atau pada kandungan terdahulu.

- Tumpah darah semasa bersalin.

- Muntah-muntah teruk masa hamil

- Urat-urat timbul pada kaki

- kelahiran menggunakan forceps

- Proses bersalin yang panjang (lebih 24 jam)

Tanda awal PE berlaku:

- Ibu hamil darah beku boleh berlaku pada 28 minggu kehamilan

- Berlaku dalam tempoh minggu pertama selepas bersalin.

- Sukar bernafas.

- Denyutan nadi sangat laju.

- Sakit dada.

- Batuk berdarah.

Bagi mengawal PE daripada berlaku, amalkan beberapa langkah tersebut:

- Sentiasa bergerak dan berjalan serta jauhi sifat malas untuk bergerak.

- Pakai stoking khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki.

- Mengambil ubat pencair darah enoxaparin/clexane.

- Minum air dengan banyak.Ingat dalam 100 kematian ibu di Malaysia, 60 kematian disebabkan oleh PE.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.