Jangan asyik cadang subjek baru untuk sekolah

(Gambar kecil, Dr Muzaffar)
(Gambar kecil, Dr Muzaffar)
A
A
A

SEPERTI sudah menjadi satu kebiasaan dalam negara kita, setiap kali munculnya sesuatu isu semasa atau masalah sosial dalam masyarakat kita, maka cara paling mudah mengatasinya dengan memperkenalkan satu mata pelajaran baharu untuk dipelajari pelajar sekolah.

Contohnya jika terdapat isu berbangkit mengenai jenayah rasuah dalam negara kita, maka akan muncullah pihak-pihak tertentu mencadangkan supaya diwujudkan satu mata pelajaran atau subjek mengenai jenayah rasuah untuk dipelajari oleh para pelajar di sekolah.

Jika terdapat isu pencemaran alam sekitar yang berlaku di sekeliling kita, maka akan muncullah pihak-pihak tertentu mencadangkan supaya diwujudkan mata pelajaran atau subjek khusus mengenai alam sekitar untuk dipelajari oleh pelajar sekolah.

Jika terdapat isu perkauman yang berlaku dalam negara kita, maka akan muncullah pihak-pihak tertentu mencadangkan supaya diperkenalkan mata pelajaran atau subjek khusus bagi mengatasi masalah perkauman yang berlaku kepada pelajar sekolah.

Jika terdapat peningkatan terhadap tahap kemalangan jalan raya yang berlaku dalam negara kita, maka akan muncullah pihak pihak tertentu yang akan mencadangkan supaya satu mata pelajaran atau subjek khusus mengenai aspek jalan raya dan trafik diwujudkan kepada pelajar sekolah.

Secara kesimpulannya, setiap isu semasa ataupun masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita, maka jalan paling mudah untuk mengatasinya ialah dengan terus memperkenalkan satu mata pelajaran atau subjek khusus mengenainya untuk dipelajari oleh para pelajar di dalam sekolah.

Kenapa perlu diperkenalkan begitu banyak mata pelajaran atau subjek baharu kepada para pelajar sekolah kita?

Terdapat beribu-ribu isu semasa serta masalah sosial yang berkaitan dengannya berlaku dalam negara dan di serata dunia setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Adakah wajar memperkenalkan satu mata pelajaran atau subjek baharu khusus untuk pelajar pelajari mengenai segala isu semasa dan masalah sosial yang berlaku dalam negara kita dan di serata dunia?

Adalah mustahil untuk setiap isu semasa dan masalah sosial yang berlaku diselesaikan dengan mewujudkan satu mata pelajaran baharu.

Jika diteruskan juga, maka pelajar sekolah akan terpaksa mempelajari lebih daripada 100 mata pelajaran ataupun subjek setiap tahun.

Pengenalan sebarang mata pelajaran ataupun subjek baharu kepada para pelajar sekolah kita tidak harus dibuat sepanjang masa kerana ia boleh membawa implikasi negatif bukan sahaja kepada diri pelajar itu sendiri malah turut akan memberi kesan terhadap guru-guru serta sukatan mata pelajaran dan subjek yang sedia ada.

Sekiranya terlampau banyak mata pelajaran atau subjek baharu diperkenalkan kepada, dibimbangi ia boleh memberi kesan terhadap emosi, mental serta perkembangan diri pelajar-pelajar sekolah.

Mereka akan dibebani dengan pelbagai jenis sukatan pelajaran yang perlu dipelajari di peringkat sekolah serta keperluan untuk menjalani ujian serta menyiapkan sebarang jenis tugasan untuk mata pelajaran yang terlibat.

Pelajar sekolah memiliki tahap kemampuan mereka untuk mempelajari sesuatu perkara, jika terlampau banyak sangat mata pelajaran ataupun subjek yang perlu mereka pelajari ia boleh mengakibatkan berlakunya tekanan emosi ataupun mental yang akhirnya mereka boleh terjebak dengan melakukan pelbagai perkara tidak diingini.

Sekiranya terlalu banyak mata pelajaran atau subjek baharu diperkenalkan di peringkat sekolah juga, ia dibimbangi akan menganggu mata pelajaran atau subjek teras yang sedia ada yang juga amat penting untuk dipelajari pelajar di sekolah.

Daripada sibuk mencadangkan pelbagai jenis mata pelajaran ataupun subjek baharu, adalah wajar sekiranya isu-isu semasa ini diselitkan di dalam mana-mana mata pelajaran ataupun subjek sedia ada yang wujud dalam sukatan pelajaran di dalam sekolah.

Selain daripada itu, usaha sama di antara pihak pengurusan sekolah dengan pihak-pihak yang memperjuangkan isu semasa dan masalah sosial dalam negara kita seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) boleh dilakukan melalui proses jemputan syarahan semasa ataupun perlaksanaan kursus kepada para pelajar di sekolah.

Sebarang pengenalan mata pelajaran atau subjek baharu dalam negara kita perlu dibincangkan dengan lebih teliti dengan pihak yang berkaitan khususnya pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pelajaran, guru-guru di sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

DR MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan,

Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)