Ambil iktibar, bukan berketak sahaja

A
A
A
DALAM rentetan 2018 yang sudah sampai penghujungnya, banyak perkara besar telah berlaku. Bermula dari awal tahun sehingga akhir tahun ini, banyak sejarah telah tercipta untuk diambil iktibar juga.

Antara berita besar itu adalah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sepanjang 61 tahun. Walaupun ada yang mengatakan ia tidak dijangka, namun apabila sampai serunya, seperti kata peribahasa lama, manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.

Bercakap tentang kejatuhan kerajaan BN ini, sudah semestinya ia akan menjadi sejarah yang diingati. Sejarah sudah tercatat dan mungkin juga akan menjadi isi kandungan dalam buku teks. Bukan apa, untuk saling ingat mengingati dan sebagai sejarah untuk diambil iktibar nanti.

Bercakap lagi tentang mengambil iktibar dari kejatuhan BN, maka kita sebagai manusia, terutama yang telah hilang kuasa ini perlulah bermuhasabah. Muhasabah di sini bermaksud menilai diri sendiri bukannya menyalahkan orang lain.

Antara iktibar yang boleh diambil ialah, jangan memperkecilkan suara-suara rintihan rakyat. Kerana rakyat itu sebenarnya raja. Bila raja berdukacita, maka terimalah akibatnya. Suara yang kecil itu boleh menjadi besar jika tidak ditangani dengan betul. Itu menurut beberapa pakar analisa politik sebelum ini.

Oleh itu setelah mengambil iktibar dari pengajaran itu maka turunlah ke lapangan untuk mendengar sendiri suara rakyat itu. Bukan hanya turun ketika tarikh pilihan raya semakin hampir. Setiap keputusan atau dasar yang dibuat perlu juga diambil kira sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

Janganlah pula diikut akan peribahasa moden yang baru sahaja saya cipta ini iaitu, rumah banglo di Seberang tampak, tetapi rumah kampung, pangsa dan kos rendah di pelupuk mata tiada tampak pula.

Setelah turun berkenalan dengan rakyat jelata, berkenalanlah pula dengan Kak Bedah yang setiap pagi menjual nasi lemak di tepi jalan. Pak Kasim yang mengeluh tidak dapat pergi ke laut menangkap ikan ketika musim tengkujuh. Muthu yang bermenung panjang berfikir harga kelapa sawit dan getah merudum, begitu juga Ah Kow yang pening kepala berfikir perbelanjaan anak ke universiti.

Kepada yang menang pula dan menjadi kerajaan baharu, perlu mengambil iktibar juga. Pertama, iktibar dari kekalahan kerajaan lama. Kedua, iktibar untuk memahami keluh kesah rakyat. Bila semua perkara berkaitan rakyat difahami, maka sukalah hati rakyat jelata.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, soroton tahun 2018 ini juga menyajikan banyak cerita jenaka daripada kerajaan baharu. Cerita jenaka ini telah pun menjadi sindiran semasa. Elok cerita-cerita jenaka ini dari sekecil-kecilnya dicatat dalam buku teks sejarah juga.

Hubaya-hubaya, perkara kecil begini seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, boleh bertukar dari bara menjadi api. Maka kerajaan baharu hendaklah berhati-hati jika memberi kenyataan. Bak kata peribahasa lama, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tapi sebenarnya bukan nila setitik sahaja, banyak juga nila yang telah tumpah.

Sebagai mengambil iktibar lagi, suka saya hendak bercerita satu kisah sejarah juga tentang seorang sahabat Nabi bernama Hassan ibn Thabit. Kalau hendak tahu, beliau ini ialah penyair zaman Rasulullah. Dan boleh dikatakan juga, pegawai perhubungan awam pertama di dunia. Begini ceritanya,

Pada suatu hari di Makkah, seorang penyair Quraisy telah membaca syair yang menghina Rasulullah. Kebetulan Rasulullah juga berada di situ. Baginda hanya mendengar sahaja dan tidak pula membalas kata-kata hina penyair itu.

Kemudian datanglah Hassan ibn Thabit. Apabila mendengar hinaan itu, maka beliau meminta izin daripada Rasulullah untuk membalas syair yang keji itu. Rasulullah mengizinkan Hassan membalasnya dan tidak pula menegah.

Lalu Hassan pun membaca syairnya pula. Syair Hassan memuji-muji Rasulullah. Hassan tidak pula membalas dengan menghina penyair Quraisy itu dengan syair keji berunsurkan dendam.

Semakin kuat suara penyair Quraisy itu mengeji Rasulullah, semakin kuat pula suara Hassan memuji Rasulullah. Ia berlarutan sehinggalah penyair Quraisy berputus asa lalu meninggalkan tempat itu. Mungkin begitulah caranya yang boleh diambil iktibar dari sejarah. Bukan dengan asyik menyalahkan kerajaan lama sahaja.

Justeru, sama ada dari kerajaan lama atau baharu, jika asyik memandang kesalahan orang lain, maka jadilah seperti seekor kuman di negeri China dapat dilihat, tetapi gajah bertenggek di batang hidung tiada sedar.Sekali lagi, hubaya-hubaya, rakyat melihatnya.

Sejarah adalah amat penting diambil iktibar untuk bermuhasabah. Seperti membawa kereta juga, jika menukar lorong atau memotong, jangan lupa sesekali melihat cermin pandang sisi dan cermin pandang belakang.

Jika tidak kereta kita akan disondol pula. Silap hari bulan cedera dan hilang nyawa. Maka bersedialah untuk menghadap ALLAH.

Akhir kata, menjelang tahun baharu 2019 ini, berdoalah kita moga-moga negara akan menjadi maju sejahtera dan sentiasa di bawah limpahan rahmat ALLAH. Sebelum saya mengucap selamat tahun baharu kepada pembaca semua, ingin saya memetik peribahasa ini untuk kita fikirkan, ayam bertelur siang, lantang ketaknya, itik bertelur malam, diam.

Tahukah maksudnya? Jika tahu bolehlah menghantar email kepada saya. Jika tidak tahu, saya rasa ramai ahli politik kita boleh menjawabnya. Selamat Tahun Baharu 2019.