200,000 pelarian Rohingya rai 'Hari Genosid'

Ratusan ribu pelarian Rohingya menyertai acara memperingati ulang tahun kedua sejak tindakan kekerasan tentera Myanmar menyaksikan kebanjiran ratusan ribu golongan itu di sempadan Bangladesh.
Ratusan ribu pelarian Rohingya menyertai acara memperingati ulang tahun kedua sejak tindakan kekerasan tentera Myanmar menyaksikan kebanjiran ratusan ribu golongan itu di sempadan Bangladesh.
A
A
A

COX'S BAZAR - Kira-kira 200,000 pelarian Rohingya berhimpun di kem pelarian Bangladesh semalam untuk memperingati ulang tahun kedua sejak tindakan kekerasan tentera Myanmar menyaksikan kebanjiran ratusan ribu pelarian di Cox's Bazar.

Acara itu diadakan beberapa hari selepas usaha kedua untuk melaksanakan proses penghantaran pulang golongan itu gagal sekali lagi.

Kumpulan itu turut melaungkan 'ALLAH Maha Besar' dan 'Semoga pelarian Rohingya panjang umur' ketika mereka berhimpun di kem pelarian tersebut untuk memperingati 'Hari Genosid'.

Di bawah cuaca panas terik, ribuan pelarian itu turut menyanyikan lagu popular dengan lirik 'dunia tidak mendengar penderitaan Rohingya' selain perarakan kumpulan pelajar membawa bendera hitam dan melaungkan slogan 'Ya Rohingya, bukan Bengali' merujuk kepada istilah yang sering digunakan Myanmar terhadap kumpulan etnik minoriti Islam terbabit.

"Saya hadir perhimpunan ini untuk menuntut bela atas kematian dua anak lelaki saya. Saya akan terus tuntut bela sehingga nafas terakhir saya," kata Tayaba Khatun, 50.

Sementara itu, pemimpin Rohingya, Mohib Ullah berkata, kebanyakan pelarian Rohingya mahu pulang, namun hanya jika mereka diberi hak kerakyatan, jaminan keselamatan dan dibenarkan pulang semula ke kampung halaman masing-masing.

"Kami ada meminta sesi dialog dengan kerajaan Myanmar. Tetapi, belum dapat sebarang respons. Kami dipukul, dibunuh dan diperkosa di Rakhine, namun ia tetap kampung halaman kami dan kami mahu pulang," ujarnya.

Kira-kira 740,000 pelarian Rohingya melarikan diri ketika gelombang keganasan baharu di Rakhine pada Ogos 2017.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini hampir sejuta pelarian tinggal di lebih 30 kem penempatan yang sesak di tenggara Bangladesh. - AFP