Sanggupkah anda meringkuk di penjara?

No Image Caption
A
A
A

PEMBANGUNAN teknologi yang pesat yang didukung dengan kepantasan internet berkelajuan tinggi membolehkan sesiapa saja ‘mencapai’ sesuatu tanpa had hanya menggunakan hujung jari sahaja.

Pada akhir tahun 2018, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan jumlah langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 megabit sesaat (Mbps) meningkat kepada lapan hingga 1.2 juta pelanggan pada akhir 2018.

Pembangunan itu membolehkan rakyat Malaysia, terutama masyarakat perniagaan, untuk memaksimumkan potensi pendapatan mereka yang diperoleh daripada aktiviti dalam talian.

Dengan kemajuan tersebut, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah komersial dengan menggunakan pelbagai modus operandi dan beroperasi di mana sahaja hatta di atas katil tanpa mengira waktu.

Buktinya, ramai yang terkena dengan panggilan scammers kononnya daripada pihak berkuasa seperti mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan pelbagai agensi penguat kuasa yang lain untuk mengaburi mangsa.

Meskipun pelbagai kempen kesedaran dilakukan, namun masih ada yang terpedaya sehingga kerugian ribuan ringgit.

Di sebalik kemajuan teknologi dan scammers, ada satu pihak lagi yang hidup dalam keadaan terdesak.

Apabila ada scammers (yang terdiri daripada rakan tanpa disedari) menawarkan ganjaran kepada pemegang akaun bank untuk ‘menumpang’ akaun tersebut untuk melakukan transaksi, ia ibarat orang mengantuk disorong bantal.

Artikel Berkaitan:

“Alah... si polan cuma nak transfer duit kejap aje”. Serius eh kau bagi komisyen kalau aku bagi kau transfer duit dalam akaun aku?” Itu mungkin dialog percakapan untuk scammer memerangkap pemegang akaun di samping mata pemilik akaun itu terbayang wang ringgit.

Itulah manipulasi scammers terhadap mangsa yang lemah terutamanya suri rumah dan orang tua (pesara).

Sebagai wartawan yang bertugas di meja mahkamah, pemerhatian saya di Mahkamah Majistret sekitar Lembah Klang mendapati kes menyembunyikan harta (wang ringgit) milik individu di dalam akaun semakin meningkat.

Hanya diumpan dengan komisyen sekitar ratusan ringgit untuk ribuan ringgit per transaksi, anda berada di bawah pemantauan Bank Negara dan disiasat polis serta akhirnya dihadapkan ke mahkamah.

Pertuduhan akan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pada masa itu, tiada guna lagi untuk anda tangisi.

Baru-baru ini, tular di laman Facebook seorang wanita mengeluh tidak dapat membuka akaun bank hanya kerana statusnya sebagai suri rumah.

Pihak bank akan membuat siasatan terperinci sebelum membenarkan bakal pelanggannya membuka akaun sekiranya berpuas hati dengan jawapan yang diberi. Jika tidak, pulang sahaja dengan kehampaan.

Sebenarnya prosedur itu dibuat sejak dua tahun kebelakangan ini.

Bercakap dengan seorang pegawai penyiasat, beliau memaklumkan, bank perlu membuat penilaian risiko pengubahan wang haram untuk setiap akaun yang ingin dibuka.

Sekiranya wujud risiko, bank akan menggunakan budi bicaranya sama ada untuk menerima atau menolak permohonan tersebut.

Tambahnya, trend sekarang banyak akaun yang digunakan di dalam aktiviti scammers adalah daripada akaun ‘mule person’ seseorang yang tiada sumber pendapatan jelas.

Lihat, bagaimana kaitan sebahagian suri rumah dan scammers yang akhirnya menyusahkan pihak lain yang benar-benar memerlukan akaun baharu.

Jadi, sedikit nasihat daripada saya, sebelum memberi izin kepada pihak ketiga menggunakan akaun anda, tanya diri sendiri, adakah anda sanggup meringkuk di dalam jel bertahun lamanya terpisah daripada keluarga tersayang hanya demi wang komisyen RM300? RM5,000? Atau jumlah lain?

Fikir dan bertenang.

*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional