Isu perkauman, agama semarak api di Amazon

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADA ketika hutan hujan Amazon di Brazil yang dianggap paru-paru bumi yang melambatkan pemanasan global terbakar, isu perkauman dan agama juga semakin memanaskan sentimen di Malaysia.

Isu perkauman, agama dan raja-raja memang sentiasa menjadi polemik yang diibaratkan sebagai api dalam sekam, sentiasa membara menunggu dikipas agar menyala.

Itu adalah hakikat yang perlu dihadapi oleh sesiapa pun yang mentadbir kerajaan Malaysia.

Cabaran isu perkauman dan agama pernah dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan sebelum diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Namun sebagai kerajaan yang baru setahun jagung mentadbir Malaysia, PH nampaknya terperangkap dengan isu-isu yang dahulunya pernah mereka mainkan sebagai pembangkang.

Media sosial yang dahulunya menjadi platform PH untuk menyerang BN dengan pelbagai isu kini nampaknya menjadi senjata makan tuan.

Isu ketuanan Melayu dan kesucian Islam terus digunakan di media sosial untuk menyerang PH dalam konteks isu yang penting bagi orang Melayu.

Kaum Cina dan India turut dilihat semakin galak mengkritik dan dalam sesetengah kes, segelintir mereka melampaui batas apabila mempertikai status Melayu sebagai pribumi di Tanah Melayu, kedaulatan Raja-raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Artikel Berkaitan:

Masalahnya ada juga segelintir orang Melayu yang sependapat dengan mereka dan pendirian itu dijadikan rujukan oleh kaum lain.

Namun masih belum terlambat untuk kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang semakin galak mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

Kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan. Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) berkaitan 3R: Race (kaum), Religion (agama) dan Royalty (institusi diraja) dan amaran Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador terhadap sesiapa sahaja yang memainkan isu-isu sensitif menunjukkan kerajaan tegas membendung usaha mengelakkan timbul suasana tidak harmoni dalam negara.

Jangan sampai ketika rakyat Malaysia bergembira menyambut kemerdekaan negara, ada pula yang menyambutnya di sebalik tirai besi.