Apabila Touch tak boleh Go

No Image Caption
A
A
A

TETT!! Ah sudah, apa hal dengan kad Touch n Go aku ni? Baki banyak lagi, bebel Merak Jalanan.

Merak Jalanan cuba sekali lagi sentuh kad Touch n Go untuk bayar tol di Tol Bentong tapi gagal.

Terpampang tulisan pada papan LED, ‘Tamat tempoh’.

Hah, tamat tempoh? Kad Touch n Go pun ada tamat tempoh? Tak pernah nampak pun pada kad, Merak Jalanan membebel lagi.

Malu sungguh, sudahlah pada waktu itu kereta berderet di belakang. Merak Jalanan bimbang menyusahkan pemandu lain sebab Merak Jalanan cukup benci pemandu yang tak cukup baki bila nak bayar tol. Tak mahulah sendiri pula yang kena maki dengan pemandu lain.

Bila datang pekerja tol, katanya, kad Touch n Go ada tarikh tamat tempohnya dan ada tertulis pada belakang kad itu. Tapi tulisannya kecil sungguh. Merak Jalanan pula rabun dekat, tentulah tak nampak tulisan itu.

Dipendekkan cerita, beberapa hari selepas itu Merak Jalanan pun pergilah ke pejabat khidmat pelanggan PLUS untuk menukar kad Touch n Go yang baharu.

Pantas prosesnya namun pada kad baharu itu pun tarikh tamat tempohnya masih ditulis di bahagian belakang kad dan kecil sahaja tulisannya.

Artikel Berkaitan:

Ini membuatkan Merak Jalanan terfikir, kenapa tidak ditulis tarikh tamat tempoh pada bahagian hadapan kad dengan saiz yang lebih besar seperti yang tertulis pada kad bank dan kad kredit.

Merak Jalanan percaya 90 peratus pengguna kad Touch n Go tidak pernah tahu kad tol mereka itu mempunyai tarikh tamat tempoh.

Mereka mungkin sama seperti Merak Jalanan, tambah nilai, gunakan di tol, tambah nilai lagi, guna lagi tanpa terfikir sama ada kad itu mempunyai tamat tempoh atau tidak, hinggalah waktunya tiba.

Jadi untuk mengelakkan masalah seperti yang Merak Jalanan hadapi, rasanya eloklah tarikh tamat tempoh kad Touch n Go diletak di bahagian hadapan dengan tulisan yang mudah dilihat.