MySalam: MoF perlu lebih telus

KOLUM: LANGIT TERBUKA

A
A
A

TERIMA kasih kepada Kementerian Kewangan (MoF) yang memberi maklum balas pantas kepada tulisan saya mengenai Skim Perlindungan Nasional B40 (MySalam) pada minggu lalu.

Namun jawapan MoF dengan frasa “membuat pelbagai dakwaan palsu” dan “tidak tahu fakta sebenar” merupakan jalur komunikasi kasar dan bersifat politik orang gasar.

Dalam komunikasi awam, jawapan rasmi pihak kerajaan seharusnya bersifat profesional dan berasaskan fakta. Dalam pentadbiran negara ala ‘Westminster’ yang diwarisi British, mahu pun pentadbiran Islam yang diterapkan sejak berdekad lalu, sikap budiman dan beradab adalah teras komunikasi kerajaan.

Namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, MoF mengabaikan penulisan profesional dan memilih jalur jawapan untuk mencari gaduh dengan rakyat yang mengkritiknya.

Hakikatnya rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai pengurusan dana MySalam ini kerana ia membabitkan penggadaian polisi ekonomi negara dengan harga RM2 bilion.

Menteri Kewangan telah memberi pengecualian kepada Great Eastern Holdings (GEH) daripada mematuhi syarat pemilikan minimum 30 peratus ekuiti tempatan dalam syarikat insurans sebagai balasan sumbangan RM2 bilion kepada Tabung Amanah MySalam (TAS).

Pandangan sinis rakyat ialah jika anda ada cukup wang untuk melobi kerajaan, maka apa polisi pun boleh dilonggarkan. Namun begitu, kelonggaran ini bukanlah sesuatu yang negatif semata-mata.

Jika mahu dilihat dari sudut positif, kita akui ia memberi keuntungan kepada rakyat B40 yang menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.

Artikel Berkaitan:

Dalam skim ini, pesakit yang menghidap salah satu penyakit terbabit akan menerima sumbangan RM8,000 dan pendapatan gantian sebanyak RM50 sehari (maksimum 14 hari @ RM700) sekiranya dimasukkan ke dalam wad.

Keliru

Tulisan saya minggu lalu tidak mempertikaikan usaha membantu rakyat yang sakit ini. Saya mengutarakan pendapat bahawa adalah lebih baik kerajaan sahaja menguruskan dana RM2 bilion ini. Keuntungan faedah daripada simpanan RM2 bilion sahaja sudah cukup untuk menampung sumbangan yang dijanjikan.

Jawapan MoF menegaskan, proses ini tidak mendatang apa-apa keuntungan kepada GEH. Ini sangat mengelirukan kerana GEH telah pun meraih keuntungan melalui pengecualian 30 peratus ekuiti tempatan dalam syarikat mereka di Malaysia.

Saya khuatir bukan setakat itu sahaja keuntungan GEH, malah ada kemungkinan GEH tidak membayar walau sesen pun kepada kerajaan secara langsung seperti yang difahami rakyat.

Justeru, MoF perlu menjelaskan adakah GEH telah membayar sepenuhnya RM2 bilion ini kepada kerajaan dan TAS, atau nilai itu hanyalah nilai atas kertas?

Melihat kenyataan akhbar dan pengumuman demi pengumuman ternampak seolah-olah dana RM2 bilion itu hanyalah janji atas kertas sahaja. Setiap tahun GEH akan menyediakan premium bernilai sekitar RM400 juta kepada 3.8 rakyat B40.

Jika ia hanya di atas kertas, ini bermakna GEH tidak mengeluarkan wang seperti yang diumumkan. Sebaliknya GEH hanya memperuntukkan sijil caruman takaful yang dicetak dengan nilai RM112 setahun kepada 3.8 juta orang yang layak menerima skim ini.

Jika inilah senarionya, maka GEH sudah mendapat dua kali keuntungan – pengecualian ekuiti yang bernilai berbilion ringgit dan tidak perlu mengeluarkan sebarang tunai bernilai RM2 bilion seperti yang digembar-gemburkan.

Saya ragu-ragu bahawa GEH telah membayar RM2 bilion kepada kerajaan. Namun jika itu yang berlaku kita berhak bertanya mengapa MoF tidak memanggil syarikat insurans tempatan yang berminat untuk memberi cadangan mengenai harga premium dan jumlah sumbangan yang boleh diberikan?

Bukankah Pakatan Harapan menjanjikan ketelusan dan keterbukaan dalam pemilihan syarikat pembekal kepada kerajaan?

MoF juga mendakwa segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut dan faedah simpanan yang terkumpul akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah MySalam.

Persoalan di sini ialah apakah baki premium berdasarkan setiap individu atau keseluruhan?

Dimaklumkan bahawa sehingga Julai 2019 sebanyak RM3 juta telah dibayar daripada caruman bernilai RM463.6 juta. Walaupun tiada jumlah penerima diumumkan, saya anggarkan pembayaran itu membabitkan 345 orang.

Jadi persoalan di sini apakah baki premium RM463.6 juta berdasarkan pengurangan jumlah tuntutan RM3 juta; atau ditolak daripada jumlah caruman untuk 345 orang iaitu RM42,090 (RM122 X 345 orang).

Secara logik biasa, baki daripada RM463.6 juta adalah setelah ditolak harga premium RM42,090 sahaja. Namun kita menunggu penjelasan MoF kerana mereka menyatakan MySalam merupakan insurans kelompok bukan individu.

Kita tidak menolak kebajikan dan kebaikan untuk rakyat, namun ia bukan bermakna MoF bebas bermaharajalela berselindung di sebalik slogan kebajikan rakyat.