Perkukuhkan semula kefahaman Rukun Negara dalam masyarakat: MBM

Jufitri Joha
Jufitri Joha
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkukuhkan semula kefahaman Rukun Negara kepada masyarakat bagi mengelakkan sentimen perkauman terus dimainkan sesetengah pihak.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) antara yang gagal menghafal Rukun Negara menunjukkan mereka sebenarnya masih tidak dapat mengenali negara ini.

"Rakyat perlu memahami dasar-dasar itu dan mempertahankan asas-asas kenegaraan termasuklah soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Sebagai contoh isu nama rasmi Inggeris 'Malaysia Sport Challenge ' telah mengundang rasa tidak senang pelbagai pihak," katanya kepada Sinar Harian.

Jufitri berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap isu ini.

Tegasnya, institusi raja, Yang di-Pertuan Agong hari ini telah mempamerkan satu imej dan karakter yang baik kepada rakyat Malaysia.

"MBM berharap kerajaan memberi fokus kepada membina negara termasuk memperkukuhkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan ekoran imej yang ada pada institusi raja," katanya.

Mengulas mengenai apakah kesan jika suhu politik negara terus panas, Jufri berkata ianya boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dalam politik empat parti utama yang terdapat di Malaysia itu perlu bersatu hati dengan menyertai kursus khas memahami semula asas-asas kenegaraan termasuk Rukun Negara supaya mereka tidak menimbulkan isu-isu yang boleh memecahbelahkan sesama mereka.

"Hari ini hampir 80 peratus rakyat Malaysia bimbang dengan sentimen perkauman yang dimainkan ketika ini.

"Jadi semua pihak harus bangkit memikirkan keamanan dan kestabilan ekonomi jauh lebih penting daripada menyebar fitnah dan menghasut rakyat," katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak termasuk kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum dan agama untuk berhenti memainkan isu sentimen 3R berkaitan kaum, agama dan institusi raja.

Berdasarkan data yang dikumpul Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan tiga isu itu, berlaku peningkatan dua kali ganda pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Menurutnya, ia menunjukkan terdapat kecenderungan tidak baik oleh pihak tertentu berkaitan tiga perkara itu yang digunakan untuk mewujudkan sentimen perkauman sebagai muslihat politik atau tidak puas hati dengan perkara tertentu dalam negara.