Gabungan UMNO, Pas makin utuh

Andansura
Andansura
A
A
A

KUANTAN - Ceramah Perpaduan yang diadakan di Bentong malam tadi, membuktikan pemimpin dan penyokong parti Pas dan UMNO kini sudah sedar pentingnya perpaduan ummah untuk masa depan agama, bangsa dan negara.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Andansura Rabu berkata, penyatuan tersebut memberi harapan baharu kepada rakyat.

Menurutnya, ceramah perpaduan lebih besar di peringkat negeri akan diadakan supaya rakyat lebih memahami gagasan yang dibawa.

"Ceramah di parlimen Bentong adalah pencetus dan memberi kesan kepada kedua-dua parti dan juga orang atas pagar.

"Kita mahu rakyat faham gagasan dan konsep yang dibawa untuk pastikan agama, bangsa dan negara ditadbir urus dengan lebih baik mengikut kehendak Islam," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, rakyat kaum lain tidak perlu risau dengan penyatuan tersebut kerana mereka tidak akan dipinggirkan.

"Penyatuan ini nak jaga agama Islam tetapi tidak ketepikan bangsa-bangsa lain. Kaum lain tidak perlu rasa tergugat kerana perjuangan ini untuk semua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nazri
Nazri

Sementara itu, Wakil rakyat UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, sudah tiba masanya orang Melayu Islam bergabung.

Bagaimanapun, kedua-duanya perlu ikhlas terutamanya pengikut UMNO.

"Tiba masanya umat Islam di bawah UMNO dan Pas bergabung bermula pemimpin hingga ke peringkat akar umbi. Ia untuk mempertahankan kedudukan Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam.

"Orang UMNO jangan sombong dan ego serta perlu ikhlas dengan penyatuan ini," katanya.