Sorotan 2018: Kerajaan BN hilang kuasa buat pertama kali

No Image Caption
A
A
A
6 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR


KAPAL pencarian pesawat MH370 Seabed Constructor, dilapor hilang daripada radar selama 80 jam tanpa penjelasan.

Theguardian.com melaporkan, tiga hari kemudian ia muncul semula di luar lokasi pencarian yang mana ia sedang dalam pelayaran menuju ke hentian untuk mengisi minyak yang dijadualkan di Pelabuhan Fremantle, Australia.

Misi pencarian pesawat MH370 berakhir pada Jun 2018.

15 Mac 2018

PUTRAJAYA


KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2017 diumumkan pada 15 Mac 2018.

Pada 2017, seramai 443,883 calon mendaftar untuk menduduki SPM di 3,363 pusat peperiksaan di seluruh negara.

7 April 2018

PUTRAJAYA


DATUK Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU14.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi ucapan selama 16 minit yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian mulai jam 12 tengah hari.

Dalam ucapannya, Najib berkata beliau sudah menghadap Sultan Muhammad ke-V di Istana Negara bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

10 Mei 2018

KUALA LUMPUR


TUN Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara, di sini, jam 9.56 pada 10 Mei.

Dr Mahathir, 92, yang diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, mencatat sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981 untuk tempoh 22 tahun.

Sultan Muhammad V memberi perkenan selaras dengan Fasal (2) (a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri.

16 Mei 2018

KUALA LUMPUR


KETUA UMUM PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan dinasihatkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah menitahkan perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan dan diberikan pembebasan serta-merata.

Katanya, pengampunan penuh Anwar dibenarkan dan diberikan pembebasan serta merta kepada beliau berkuatkuasa mulai dari tarikh persidangan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Rayuan Pengampunan penuh Anwar telah dibentangkan dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-WIlayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke 51 pada 16 Mei 2018.

No Image Caption



5 Jun 2018

KUALA LUMPUR


YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Agong telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

5 Jun 2018

KUALA LUMPUR


SEBANYAK 265,149 nama daripada 433,708 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan pelepasan sekatan keluar negara bagi peminjam berkenaan terpakai kepada peminjam yang nama mereka masih di dalam sistem Imigresen.

Bagi individu yang disenarai hitam oleh Lembaga Hasil Dalam Hasil (LHDN), Muhyiddin berkata mereka dibenarkan keluar negara tanpa sekatan bermula 1 Jun selaras dengan surat arahan agensi yang diterima Jabatan Imigresen pada tarikh sama.

6 Jun 2018

KUALA LUMPUR


PEGUAM negara, Tommy Thomas berikrar akan menjadikan pengurusan prosiding jenayah terharap dakwaan salah laku 1MDB sebagai keutamaannya.

“Semua sama di sisi undang-undang dan tiada siapa pun akan dilepaskan. Tidak akan ada cubaan menutup kes,” kata Thomas dalam sidang media selepas memasuki pejabatnya pada hari pertama.

Beliau juga berkata akan menjadikan agenda pemansuhan undang-undang yang menindas sebagai agenda utama dan memberitahu sudah mempunyai “senarai panjang” dan berjanji akan tiada lagi pendakwaan terpilih dan pihak tidak bersalah tidak perlu berasa bimbang.

26 Jun 2018

KUALA LUMPUR


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melaksanakan proses pengeluaran seramai 429,945 peminjam daripada senarai hitam.

24 Mei lalu itu, seramai 1.8 juta peminjam yang patut membuat bayaran balik layak ke luar negara, memperbaharui atau membuat pasport baharu tanpa sekatan imigresen.

Ini sekali gus menepati janji 100 hari manifesto kerajaan kepada masyarakat Malaysia yang merupakan peminjam PTPTN.

No Image Caption



28 Jun 2018

KUALA LUMPUR


MALAYSIA memutuskan menarik balik anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi bagi mengelakkan mereka terlibat dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman sejak 2015 (Ops Yaman 2).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata keputusan itu telah diputuskan oleh Kabinet.

Mohamad berkata kehadiran tentera Malaysia di negara itu yang dihantar oleh pentadbiran sebelum ini menyebabkan negara secara tidak langsung diheret ke dalam konflik di Timur Tengah.

No Image Caption



29 Jun 2018

KUALA LUMPUR


1MDB telah menamatkan perkhidmatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Surat penamtan perkhidmatan itu menyebut Arul Kanda didapati telah "melanggar kontrak dan kewajiban fidusiari" sebagai ketua 1MDB.

Keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Arul Kanda dibuat dalam satu mesyuarat lembaga pengarah pada 25 Jun lalu.

No Image Caption



30 Jun 2018

KUALA LUMPUR


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun warganegara Thailand telah menjadi isteri ketiga kepada seorang peraih getah berumur 41 tahun di Kelantan.

Pernikahan yang berlangsung di Sungai Golok itu telah berlangsung pada 18 Jun lalu, ketika umat Islam merayakan Aidilfitri telah mendapat restu daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Bapanya Mat Rashid Rimadsa, 49, berkata beliau amat mengenali lelaki Malaysia itu, yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis, Gua Musang kerana selalu menjual getah tongkol (sekerap) kepadanya.

2 Julai 2018

KUALA LUMPUR


KERAJAAN telah membekukan 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion membabbitkan 81 individu serta 55 buah syarikat daripada akaun milik individu, parti politik, NGO.

Perkara ini dimaklumkan oleh pasukan petugas khas (task force) 1MDB telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun-akaun milik individu, parti politik serta NGO pada 26 dan 29 Jun 2018 lalu.

Kenyataan ringkas itu juga menyebut, akauan yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

No Image Caption



3 Julai 2018

PUTRAJAYA


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta mana-mana pemilik akaun yang dibekukan kerana berkaitan 1MDB supaya menyerahkan dana berkenaan kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Shukri Abdull yang juga anggota pasukan tugas khas 1MDB, berkata, tiada notis dikeluarkan sebelum ini untuk membekukan akaun bank berkenaan bagi menunjukkan 'elemen kejutan'.

Sehubungan itu beliau menggesa mana-mana individu atau pihak yang mendapati akaun mereka dibekukan supaya secara sukarela bertemu SPRM dan seterusnya mengembalikan dana berkenaan.

4 Julai 2018

PUTRAJAYA


JABATAN Imigresen Malaysia telah membatalkan pasport milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low pada 15 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pembatalan itu dilakukan atas permintaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung siasatan 1MDB.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

No Image Caption



10 Julai 2018

LUBNAN


SEORANG tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, dan dirampas oleh polis pada Mei.

Dalam dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Dalam pernyataan tuntutannya, firma yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa Rosmah adalah pelanggan lama, dan syarikat itu juga menjual barangan kemas di seluruh dunia, termasuk kepada keluarga diraja.

Global Royalty mendakwa seperti pada tahun-tahun sebelumnya, firma itu akan menghantar barangan kemas kepada Rosmah mengikut permintaannya untuk dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

7 Ogos 2018

KLANG


KAPAL mewah The Equanimity yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1MDB tiba di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

Kapal itu berlabuh di jeti berkenaan selepas dikatakan berlayar selama hampir 20 jam dari Batam, Indonesia.

Pada Februari lalu, kapal itu dirampas dan disita pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan 1MDB.

Kementerian Kewangan merancang untuk menjual kapal itu dengan harga tertinggi supaya Malaysia beroleh kembali kira-kira AS$250 juta (RM1 bilion).

No Image Caption



17 Ogos 2018

KUALA LUMPUR


GENAP 100 hari kerajaan PH mengambil alih pentadbiran negara, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan telah memulakan proses menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan membawa kembali Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

1 September 2018

PUTRAJAYA


KERAJAAN telah memulakan pelaksanaan mengutip cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun tiada sebarang hukuman dikenakan kepada peniaga yang tidak mendaftar, mereka masih perlu membayar cukai berkenaan bermula hari ini tanpa boleh mengenakan caj kepada pengguna.

“Ini adalah satu sistem cukai baharu dan kita akan gunakan pendekatan yang lembut, pendekatan yang mesra, pendekatan berjiwa rakyat iaitu jika ada apa-apa kesilapan kita akan betulkan dan kita tidak akan menghukum.

“Namun, sekiranya ada masalah, mereka akan bayar enam peratus cukai itu bagi pihak pelanggan mereka, itu saja dan tiada tindakan punitif atau hukuman pada peringkat awal ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption



3 September 2018

PUTRAJAYA


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut dengan pembebasan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Guan Eng semalam susulan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan tersebut.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia “amat terkejut” dan menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara, bukannya dibuat oleh SPRM.

5 September 2018

PUTRAJAYA


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik sah dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Korporat UIAM, pengurusan universiti berkenaan berpandangan, Maszlee adalah calon yang ideal untuk jawatan tersebut kerana merupakan seorang bekas pensyarah UIAM selain pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

8 September 2018

PUTRAJAYA


MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng menegur Kerajaan Kelantan agar menguruskan kewangan negeri dengan "lebih bertanggungjawab dan berhemah".

Katanya, Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM913 juta.

Jumlah berkenaan terdiri daripada bantuan kewangan defisit sebanyak RM363 juta malah bantuan itu diberikan kepada negeri dengan hasil yang tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain.

RM550 juta selebihnya pula, katanya, adalah wang pendahuluan yang diberikan kerajaan persekutuan bagi membantu Kelantan mengatasi masalah aliran tunai.

No Image Caption



2 November 2018

KUALA LUMPUR


KERAJAAN PH buat pertama kalinya mengumumkan Belanjawan 2019 yang lebih tinggi beserta beserta beberapa cukai baharu serta peningkatan cukai selain cadangan bayaran khas kepada penjawat awam.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion untuk Belanjawan 2019 berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang Bertemakan ''Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera''.

Daripada jumlah tersebut, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

23 November 2018

PUTRAJAYA


KERAJAAN mengesahkan tidak meratifikasi ICERD.

Pejabat Perdana Menteri sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum sewaktu pembentukan negara ini.

No Image Caption



8 Disember 2018

KUALA LUMPUR


RATUSAN ribu membanjiri Dataran Merdeka dalam Perhimpunan Bantah ICERD.

Hadir dalam perhimpunan itu adalah pimpinan tertinggi Umno dan Pas, masing-masing diketuai Presidennya, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, orang Melayu tidak akan berdiam diri apabila bangsa dan agama diusik.

Hadi pula memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak membawa ICERD ke Parlimen.

No Image Caption



10 Disember 2018

KUALA LUMPUR


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa mendedahkan pengurusan lama Tabung Haji (TH) melanggar Akta TH 1995 dalam soal pembayaran hibah kepada pendeposit sejak 2014.

Hasil semakan kedudukan kewangan oleh syarikat audit bebas PriceWaterhouseCoopers(PWC) mendapati TH membayar hibah (dividen) menggunakan simpanan pendeposit.

Bagaimanapun, atas kertas, TH dilaporkan memberikan gambaran bahawa hibah dibayar menggunakan keuntungan syarikat.

14 Disember 2018

SERDANG


BEKAS Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin disahkan meninggal dunia pada jam 6.25 petang semalam.

Perkara itu disahkan adiknya, Abdul Lazam Maidin sewaktu dihubungi.

Menurut laporan FMT, Zainuddin disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang akibat paru-paru berair.

Tokoh Wartawan itu sebelum ini pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya akibat masalah paru-paru berair.