Anak orang asli antara 210 graduan Kias

Maria (tengah) berbual dengan bapanya, Angah (dua dari kanan) dan ibunya, Andak Anjang (tiga dari kiri) selepas majlis konvokesyen selesai.
A
A

KOTA BHARU - Siapa sangka anak masyarakat Orang Asli Temiar, Maria Angah, 22, menjadi antara 210 graduan yang mendapat penganugerahan diploma dalam Majlis Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) ke 21, di sini hari ini.

Anak keempat daripada 11 beradik tersebut dianugerahkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Secara Islam oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Dewan Besar Balai Islam.

Kongsi Maria, bapanya, Angah Amat, 49, yang memeluk Islam pada tahun 1997 telah membawa perubahan besar dalam kehidupannya.

"Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pelajaran di Kias. Dulu pun saya tidak percaya saya terpilih untuk belajar di sini.

"Sejak pertama kali melangkah ke Kias saya sudah tanam harapan satu hari nanti, bila tamat belajar saya mahu mengubah nasib keluarga saya dan bantu adik-adik yang lain," katanya kepada Sinar Harian.

Maria
Maria

Ujar Maria, dia juga berharap dapat membantu adik-beradik yang lain selepas mendapat kerja nanti.

Ketika ditanya mengenai kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang berada di Kias, Maria berkata, pernah satu masa dia terpaksa ikat perut sebab tidak mahu menyusahkan bapanya.

"Saya ikat perut sebab saya tak mahu ayah susah-susah, memandangkan adik-adik masih ramai di bangku sekolah. Mujur ada bantuan daripada beberapa pihak yang banyak memudahkan urusan saya," katanya.

Sementara itu, bapanya Angah Amat yang tinggal di Post Tuel ketika ditemui berkongsi perasaan gembira dan sebak kerana Maria merupakan satu-satunya anak yang berjaya melangkah ke pengajian peringkat tinggi.

Beliau yang juga guru agama untuk masyarakat orang asli di Tuel, Gua Musang itu turut berharap agar Maria dapat membantu adik-adik yang lain untuk menyambung pelajaran di masa hadapan.

Seramai 210 graduan Kias menerima anugerah diploma masing-masing hari ini melibatkan 10 bidang utama iaitu Diploma Usuluddin, Diploma Al-Syariah, Diploma Bahasa Arab, Diploma Dakwah dengan Media, Diploma Kaunseling, Diploma Perbankan Islam, Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Secara Islam, Diploma Tahfiz dan Al-Quran, Diploma Qiraat dan Taranum dan Diploma Pengajian Islam.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kias Darul Naim Sdn Bhd, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Ketua Eksekutif Kias, Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Penerima anugerah Muhammad Al-Fatih kali ini menjadi milik Syahidatulhusna Birkamsin manakala Ibn Khaldun pula diberikan kepada Zaakirah Imana Salam dan anugerah Tok Pulau Melaka diberikan kepada Anis Khairani Marzari.