Penyokong Pulau Pinang cedera diserang lima lelaki

Kelihatan pasukan polis dari unit tindakan ringan berkawal di Stadium Bandaraya selepas berlaku kekecohan di antara penyokong Pulau Pinang dan Perak malam tadi. Gambar kecil: Che Zaimani
Kelihatan pasukan polis dari unit tindakan ringan berkawal di Stadium Bandaraya selepas berlaku kekecohan di antara penyokong Pulau Pinang dan Perak malam tadi. Gambar kecil: Che Zaimani
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penyokong pasukan bola sepak Pulau Pinang cedera di bahagian muka selepas diserang lima lelaki dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Dato Keramat di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas menonton perlawanan bola sepak di Stadium Bandaraya di sini dikatakan berhenti di stesen minyak berkenaan sebelum diserbu oleh kumpulan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, salah seorang daripada mereka menumbuk muka mangsa dan dia yang terkejut dengan perbuatan kumpulan lelaki berkenaan bertindak melarikan diri.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa yang berusia 18 tahun mengalami kecederaan di bahagian hidung, mata kiri dan sakit di bahagian kepala.

"Daripada keterangan mangsa, kumpulan lelaki yang menyerbunya disyaki penyokong Perak kerana memakai baju berwarna hitam namun tiada tulisan atau lambang negeri Perak.

"Mangsa mengesyaki suspek adalah penyokong pasukan Perak kerana ketika perlawanan berlangsung berlaku pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan sehingga menyebabkan berlaku kekecohan di dalam stadium," katanya ketika dihubungi di sini.

Che Zaimani berkata, siasatan awal mendapati setelah selesai perlawanan bola sepak, penyokong pasukan Perak dikatakan telah mula membaling bekas air minuman yang berisi air ke arah penyokong pasukan Pulau Pinang menyebabkan berlaku kejadian baling membaling barang di antara kedua-dua pihak.

Katanya, mangsa hanya melihat kejadian itu berlaku dan tidak mencari pasal dengan dengan kumpulan lelaki terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami kecederaan serius.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan satu pasukan task force telah diarahkan untuk mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata.

Dalam perlawanan semalam, Pulau Pinang berjaya mengikat juara bertahan Piala Malaysia, Perak selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan Kumpulan C piala berprestij itu di Stadium Bandaraya.