SPRM siasat komplot monopoli projek kerajaan

Latheefa ketika ditemui media sempena Program Gohek Basikal dan Khabak Merdeka 2019 di Bukit Besar di sini, hari ini.
Latheefa ketika ditemui media sempena Program Gohek Basikal dan Khabak Merdeka 2019 di Bukit Besar di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat pihak yang terlibat dalam memonopoli projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, perkara itu kini dalam perhatian dan tindakan pihaknya.

"Kes berkaitan monopoli tender-tender kerajaan dalam perhatian SPRM kerana terdapat banyak laporan berkaitan perolehan tender dan sebagainya yang diterima.

"Namun, maklumat mengenainya kami tidak boleh dedahkan," katanya ketika ditemui media sempena Program Gohek Basikal dan Khabak Merdeka 2019 di Bukit Besar di sini petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang memaklumkan berlakunya komplot monopoli tender oleh kontraktor pembida sehingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi terkini kes rasuah, Latheefa berkata, penglibatan golongan muda dalam jenayah itu agak membimbangkan.

"Kita lihat perlu tingkatkan kesedaran berhubung jenayah rasuah dalam kalangan golongan muda kerana mereka perlu sensitif terhadap isu ini. Kita akan fokus bagi tingkatkan program pencegahan selain operasi dan tangkapan," katanya.

Terdahulu, Latheefa bersama Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan serta seramai 100 peserta menyertai program mendaki sejauh 156 meter ke puncak Bukit Besar, di sini.

Artikel Berkaitan: