Tuah bayi bersaiz telefon bimbit!

Aliyah (gambar terkini) pernah mendapat jolokan bayi terkecil sama saiz dengan telefon bimbit, 16 tahun lalu. - Daily Star
A
A

BRITAIN - Siapa sangka, seorang remaja yang pernah mendapat jolokan bayi terkecil di Britain kini berjaya meraih keputusan cemerlang dalam sijil pelajaran am menengah (GCSE).

Kira-kira 16 tahun lalu, Aliyah Hart dilahirkan tiga bulan awal dan hanya bersaiz sebesar telefon bimbit.

Malah doktor di Hospital Birmingham juga pernah memberitahu, Aliyah hanya ada satu peratus untuk hidup selepas mendapati paru-parunya tidak berkembang dengan baik.

Memetik laporan Daily Star, bayi ajaib itu hanya memiliki berat 340 gram dan bersaiz tujuh inci ketika dilahirkan pada 2003 sama saiz jika dibandingkan dengan telefon bimbit.

Aliyah dilahirkan dengan berat 340 gram 16 tahun lalu. - Daily Star
Aliyah dilahirkan dengan berat 340 gram 16 tahun lalu. - Daily Star

Namun semua itu hanya menjadi lipatan sejarah buat Aliyah yang kini membesar seperti insan normal.

Remaja itu mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam kursus seni persembahan di Kolej Solihull pada September ini.

Ibunya, Lorraine, 58, turut berbangga dengan pencapaian anaknya itu meskipun memiliki sejarahnya tersendiri.

"Saya tidak pernah fikir dia akan terus hidup dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang yang digemarinya.

"Dulu dia sangat kecil tetapi berada dalam keadaan sihat. Doktor dan guru pernah memberitahu, dia akan mengalami masalah pembelajaran.

"Namun sebaliknya, dia berjaya membuktikan yang dia mampu harungi segala cabaran, saya amat bangga dengan dia," katanya.

Menurut ibu tunggal itu, anaknya seorang pemalu namun berharap pengalaman ketika belajar di kolej membimbingnya untuk terus berjaya dalam kerjaya kelak. - Daily Star


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia