Lelaki meninggal dunia dalam kereta

Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam kereta. - Foto: BOMBA
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta Perodua Kancil di tepi jalan berhampiran Pusat Rukun Tetangga Jalan Sri Bintang 2, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, pada lebih kurang jam 11.38 pagi, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menerima maklumat mengenai penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam kereta.

Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki lengkap berpakaian berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan enjin kereta masih hidup.

"Bomba membantu membuka pintu kereta tersebut dan pasukan perubatan yang ke lokasi mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan setakat ini dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.