Tanam Musang King atas tanah wakaf

Ishak (tengah) bersama peserta kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Musang King di Dewan Reflesia Institut Latihan FAMA.
Ishak (tengah) bersama peserta kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Musang King di Dewan Reflesia Institut Latihan FAMA.
A
A
A

PORT DICKSON – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meminta kerajaan negeri dan majlis agama Islam seluruh negara menimbangkan cadangan membangunkan tanah wakaf terbiar dengan penanaman durian Musang King.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, hasrat itu bertujuan meningkatkan nilai tanah dengan hasil yang diyakini dapat memberi manfaat kepada pewakaf dan kerajaan negeri.

Menurutnya, mengikut data yang diperolehi terdapat banyak tanah wakaf terbiar di seluruh negara yang mencecah nilaian sehingga RM58 bilion tetapi 'terkunci' tanpa diusahakan.

“FAMA berhasrat mengusahakan tanah di pinggir bandar dan kawasan terpencil kerana berpotensi untuk kita tingkatkan nilai melalui tanaman durian jenis ini.

“Tanah terbiar ini dapat diusahakan bersama FAMA sebagai tapak pertanian yang akan diusahakan oleh penanam muda baharu.

“Kita bawa peserta, membantu dan membimbing mereka secara anjuran kontrak pemasaran bagi memastikan mereka dapat usahakan tanah itu sekali gus hasil yang diperoleh dapat dipasarkan melalui FAMA atau ruang pasaran lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Musang King di Dewan Reflesia Institut Latihan FAMA.

Katanya, maklumat pakar pertanian mendapati sepohon pokok matang durian Musang King dapat mengeluarkan buah sebanyak 120 biji dan mampu memberi pulangan sehingga RM3,600 jika buah dijual pada harga RM20 sekilogram.

Katanya, pulangan menjual Musang King dilihat lebih tinggi jika dibandingkan dengan tanaman lain seperti nanas, kelapa, kelapa sawit dan getah.

Artikel Berkaitan:

“Harga durian Musang King secara purata mencecah RM30 hingga RM100 sekilogram bagi pasaran tempatan manakala RM400 hingga RM800 sekilogram bagi pasaran luar negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun pembangunan durian Musang King diperhebatkan di luar negara tetapi pihaknya memberi jaminan bahawa raja buah itu boleh dinikmati oleh masyarakat tempatan dengan harga mampu milik.

Ishak turut memberitahu, FAMA telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjadi salah satu agensi pembimbing halal bagi memastikan produk yang dikeluarkan memenuhi konsep Halalan Toyibah.

Katanya, beberapa pegawai FAMA akan diberi khusus pentauliahan sebelum dapat membantu lebih 6,000 usahawan FAMA mendapat sijil halal dengan pantas dan lebih murah.