PBT perlu ada sistem penyelenggaraan telus

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye (tengah) mengadakan sidang media selepas melancarkan Bengkel Keselamatan dan Bantuan Kecemasan anjuran Akademi Keselamatan dan Penjagaan Kecemasan (ASEC) hari ini. - Foto BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan sistem penyelenggaraan yang memuaskan bagi memastikan kemudahan infrastruktur awam dijaga secara telus dan sistematik.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana, keselamatan komuniti seharusnya menjadi tanggungjawab semua terutamanya daripada PBT sebagai penyedia kemudahan tersebut.

"Aspek-aspek penyelenggaraan seharusnya ditekankan oleh semua PBT secara khusus bagi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di semua kawasan komuniti sentiasa berada dalam keadaan baik dan mengekalkan fungsi kemudahan itu.

"Kelemahan dalam sistem penyelenggaraan merupakan halangan kepada usaha kita untuk menjadikan komuniti lebih selamat. Justeru, PBT perlu menyediakan sistem yang lebih baik sekali gus mendidik masyarakat tentang kesedaran mengenai keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pertolongan Cemas anjuran Akademi Keselamatan dan Penjagaan Kecemasan (ASEC) di Puchong dekat sini hari ini.

Lam Thye berkata, kesedaran mengenai keselamatan dalam kalangan masyarakat masih kurang walaupun kebanyakan tempat kerja di negara ini semakin selamat ekoran penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Banyak insiden dan kemalangan sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita mempunyai pengetahuan terhadap ilmu bantuan kecemasan kerana sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan nyawa sebelum dikejarkan ke hospital," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASEC, Wong Wee Zhee berkata, bengkel yang dijalankan secara percuma itu akan memberi pendedahan mengenai kemahiran bantuan kecemasan yang dapat membantu menjadikan kediaman dan komuniti mereka lebih selamat.

"Sasaran kami iaitu menjadikan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya seorang yang terlatih dalam menangani kecemasan di rumah di bawah konsep ‘Satu Keluarga-Satu Responder’.

"Selain itu, pihak JMB (badan berurusan bersama) di setiap kediaman bertingkat juga diseru untuk menubuhkan satu pasukan keselamatan bagi memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku insiden atau kejadian yang tidak diingini," katanya.

Tegasnya, pihaknya juga turut mengendalikan seminar keselamatan dan kesihatan kepada industri-industri yang terdedah kepada risiko kemalangan yang tinggi seperti perindustrian dan perkilangan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pekerja-pekerjanya. - Bernama