Kukuhkan DNA Bersatu pada setiap ahli

Ulya Aqamah Husamudin.
Ulya Aqamah Husamudin.
A
A
A

SHAH ALAM - Armada Bersatu akan tumpu topik berkaitan sistem pengkaderan dengan mengukuhkan DNA parti itu dalam setiap ahli, pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-2 Bersatu.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, terdapat tiga tunjang utama dalam DNA Bersatu iaitu 'Bersatu, Beramanah dan Bermaruah' yang perlu diselami setiap anggota.

Katanya, ia bagi memastikan ahli Bersatu faham dengan perjuangan asal dan prinsip parti termasuk mereka yang berhijrah ke dalam parti itu.

"Kalau tengok balik apa yang kita sebut sebagai perjuangan kita, dari segi pembersihan dan tapisan semua (penghijrahan bekas pemimpin dan ahli Umno ke dalam Bersatu), sebenarnya Bersatu mahu melahirkan Melayu baharu dalam Malaysia Baharu.

"Melayu baharu ini kita kena definisikan semula iaitu Melayu ini perlu bermaruah, beramanah dan bersatu. Kita hendak pastikan orang Melayu tak lagi terkebelakang dalam isu-isu tertentu, bukan lagi memainkan isu retorik," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ulya Uqamah berkata, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membentangkan usul sayap parti itu dan dibahaskan perwakilan.

Beliau berkata, antara perkara yang dijangka menjadi fokus Armada Bersatu dalam perhimpunan agung kali ini adalah konsep 'satu ahli satu undi'.

"Armada Bersatu rata-rata mahukan parti mengadakan pemilihan secara 'satu ahli satu undi'. Jadi Armada akan usulkan dan bahaskan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Malah pada 30 Disember (Ahad) ini juga, akan ada wakil Armada Bersatu yang perjuangkan isu itu di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Bersatu) sendiri," katanya.

Selain itu, katanya, Armad Bersatu juga mahukan supaya parti itu mengadakan satu sistem yang lebih holistik dan menyeluruh.

Bersatu bukan Umno

Dalam isu penghijaran bekas pemimpin dan ahli Umno ke Bersatu, Ulya Aqamah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, parti itu perlu bersedia untuk menggantikan Umno.

"Tapi Bersatu bukan Umno. Itu antara 'tagline' yang Armada akan gunakan.

"Kita kena pastikan setiap (bekas ahli Umno) yang masuk (menyertai Bersatu), kita mahukan ada tapisan yang menyeluruh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis," katanya.

Jika ada di antara mereka didapati bersalah, katanya, Bersatu tidak akan melindungi mereka.

"Sebaliknya Armada Bersatu akan terus jadi bahan pendesak untuk perkara-perkara sebegini," katanya.

Menurutnya, Bersatu tidak berniat untuk menjadi Umno 2.0, sebaliknya mahu menggambil alih tugas parti Melayu tertua itu dalam memperkasakan orang Melayu.

Ulya Aqamah berkata, parti itu akan menggalas tanggungjawab berkenaan memandangkan Umno dilihat sudah gagal.

Namun, katanya, Bersatu tidak berniat untuk menggantikan Umno sebagai entiti berkenaan.

"(Bila) kita kata Bersatu akan gantikan Umno, maksudnya Bersatu yang akan mengambil alih tugas Umno untuk menjaga kebajikan, pertahankan hak dan perkasakan orang Melayu," katanya.

Cadang tubuh Srikandi Muda

Ulya Aqamah berkata, Armada Bersatu juga bercadang untuk membahaskan tentang penubuhan sayap parti baharu iaitu Srikandi Muda untuk wanita muda.

"Kira-kira 57 peratus ahli-ahli Bersatu terdiri daripada anak muda di bawah 35 tahun dan sebahagian daripada peratusan itu, ada wanita muda.

"Namun mereka tiada platform khusus dan kebiasaannya menyertai program anjuran Srikandi Bersatu dan Armada Bersatu," katanya.

Selain itu, katanya, Armada Bersatu juga akan membangkitkan beberapa perkara terutama melibatkan tentang pendidikan termasuk isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selain isu Felda.

Menurutnya, dianggarkan seramai 800 perwakilan daripada 113 Armada Bersatu bahagian akan terlibat dalam perhimpunan agung kali ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Setakat petang semalam, seramai 709 perwakilan Armada sudah mendaftar," katanya.

Dalam pada itu, Ulya Aqamah turut mengingatkan ahli supaya menggunakan perhimpunan agung itu sebagai platform penting dalam memperbaiki sebarang perkara yang salah.

"Maksudnya, kalau mereka hendak kritik pimpinan, inilah masanya. Ini adalah masa untuk kita perbetulkan yang mana salah," katanya.

INFO:

- Kira-kira 57 peratus ahli Bersatu merupakan anak muda berusia bawah 35 tahun.

- Sebanyak 113 Armada Bersatu bahagian terlibat dalam perhimpunan agung kali ini.

- Setakat petang semalam, 709 perwakilan Armada Bersatu sudah mendaftar untuk perhimpunan ini.