Trump puji PM Britain orang tepat urus Brexit

Presiden AS, Donald Trump (kanan) bersama Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - FOTO AFP
Presiden AS, Donald Trump (kanan) bersama Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - FOTO AFP
A
A
A

BIARRITZ - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bertemu empat mata dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump buat kali pertama sejak dilantik menggantikan Theresa May pada 24 Julai lalu.

Kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu di luar mesyuarat Sidang G7 yang dihoskan Perancis, ditanya tentang nasihatnya berhubung Brexit, Trump berkata Johnson merupakan orang yang tepat untuk menguruskan pengunduran Britain daripada Kesatuan Eropah (EU).

"Saya telah berkata demikian sejak dahulu lagi," kata Trump sambil menambah komen tersebut tidak menggembirakan May semasa beliau masih mentadbir Britain.

Terdahulu, Johnson menggesa Trump untuk menghapuskan beberapa sekatan bagi membolehkan syarikat Britain menembusi pasaran eksport AS dan semalam jutawan hartanah itu berkata satu perjanjian perdagangan dengan Britain akan dimeterai dengan kadar segera.

Perdana Menteri Britain itu turut mengucapkan tahniah kepada Trump di atas kekuatan ekonomi AS namun pada masa sama melahirkan kebimbangan berhubung ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing.

"Secara keseluruhan kami memihak kepada perdagangan bebas," kata Johnson kepada Trump berhubung perang perdagangan.

Trump turut memaklumkan bahawa AS bakal mengadakan perjanjian besar dengan Jepun, satu usahasama yang telah dibincangkan selama lima bulan. - AFP

Artikel Berkaitan: