Rokok seludup bernilai RM4.3 juta dirampas

Minuman keras yang lari cukai dirampas PPM di sebuah rumah tidak bernombor di tepi Jalan Sikuati, Kudat Sabah.
Minuman keras yang lari cukai dirampas PPM di sebuah rumah tidak bernombor di tepi Jalan Sikuati, Kudat Sabah.
A
A
A

KAJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 28,870 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM4.3 juta selepas serbuan di sebuah premis di Kajang Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis menahan tujuh lelaki dipercayai terbabit sindiket pengedaran rokok yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, dalam Operasi Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA Bukit Aman itu, polis turut merampas pelbagai jenis kenderaan bernilai RM235,000.

“Dalam operasi itu empat buah lori dan tiga buah kenderaan masing-masing jenis Mercedez Benz E200, Proton Waja serta Toyota Vios dirampas menjadikan jumlah nilai rampasan keseluruhan lebih RM4.6 juta.

Rokok seludup yang dirampas dalam operasi di sebuah premis di Kajang.
Rokok seludup yang dirampas dalam operasi di sebuah premis di Kajang.

“Kesemua suspek berusia antara 39 dan 61 tahun ditahan direman selama enam hari hingga lusa di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua daripada tujuh suspek ditahan memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas 8,720 bungkus rokok putih pelbagai jenama, 2,928 tin minuman keras dan wang tunai berjumlah RM18,000 selepas menahan dua lelaki di Kampung Pinawantai Matunggong, Sabah Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Acryl Sani berkata, hasil Op Landai Khas dilaksanakan polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, empat unit telefon dan sebuah beg tangan berjenama.

Kenderaan yang dirampas dalam operasi berkenaan.
Kenderaan yang dirampas dalam operasi berkenaan.

“PPM menemui barangan lari cukai selepas menahan dan memeriksa sebuah kenderaan dinaiki dua lelaki berusia 44 dan 31 tahun, Selasa lalu.

“Sebanyak 590 bungkus rokok dan 696 tin minuman keras dengan nilai rampasan lebih RM70,000 ditemui dalam dalam kenderaan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut polis menemui 8,130 bungkus rokok putih dan 2,232 tin minuman keras pelbagai jenama di sebuah rumah tidak bernombor di tepi Jalan Sikuati, Kudat Sabah.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM500,000. Dua suspek ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.