Rakyat Malaysia harus bersatu sebagai rakan karib

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

CYBERJAYA - Semua warga Malaysia harus bersatu sebagai rakan karib kerana berkongsi harapan, impian dan tujuan yang sama iaitu hidup sejahtera di negara bertuah ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata, semangat Hari Kemerdekaan ke-62 akan disambut tidak lama lagi boleh dijadikan landasan mewujudkan masyarakat bersatu padu serta saling menghormati ke arah melahirkan Malaysia yang bersih, aman dan makmur.

"Justeru, marilah kita bersama-sama menyemarakkan rasa cintakan negara dengan memastikan Jalur Gemilang bukan sahaja dipasang di pejabat kerajaan tetapi juga di bangunan swasta dan premis perniagaan," katanya pada program Merdeka Fun Ride 2019 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau pada program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad.

Program yang disertai kira-kira 500 peserta daripada pelbagai kaum mewakili agensi di bawah SKMM serta wakil syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi penyiaran, pos dan kurier itu turut disertai Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.

Menurutnya, program itu berupaya memupuk semangat kerjasama serta setiakawan dalam suasana muhibah antara sesama agensi di bawah KKMM dan pemain industri.

Ia menjadi platform penting mengeratkan antara satu sama lain seterusnya mewujudkan budaya sihat dalam kalangan rakyat berbilang kaum sempena menyambut bulan kemerdekaan negara, katanya.

Sementara itu, Al-Ishsal ketika ditemui berkata, penglibatan pelbagai kaum dalam program itu secara tidak langsung menunjukkan semangat setiakawan dan cintakan negara ketika masyarakat berdepan karenah di media sosial yang mencabar.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga mahu tunjukkan bahawa kita semua adalah satu keluarga dan pemain industri telekomunikasi boleh bersama untuk negara dan masyarakat Malaysia tidak terkesan dengan isu mencabar yang berlegar di media sosial dan semua rakyat cintakan keamanan," katanya. - Bernama