Layanan yang berbeza

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini pelbagai isu ditimbulkan di dalam negara menjadikan seolah-olah polarisasi kaum dan agama di Malaysia semakin kronik. Cabar mencabar, tuduh menuduh, label melabel mahu dijadikan norma lazim di tanah watan ini. Perkembangan ini sangat menggusarkan masyarakat awam sama ada Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu. Lepas satu-satu isu dibangkitkan yang menjurus kepada menyemai benih keraguan satu kaum kepada kaum yang lain.

Dari perspektif orang Islam dan Melayu, ramai yang melihat pelbagai isu timbul kerana layanan yang berbeza diambil di dalam sesuatu isu. Kegusaran orang Islam dan Melayu adalah real tetapi masih lagi berada di bawah aras arus, ia belum lagi muncul di permukaan ataupun menongkah arus. Walaupun begitu kita tidak harus membiarkannya ke situasi yang lebih kronik sebelum mengambil tindakan memperbetulkannnya.

Umpamanya dalam isu Dr Zakir Naik, ada golongan yang menyatakan kita telahpun mempunyai ramai alim ulama tempatan yang beragama Islam, tidak perlulah menjemput orang asing untuk memberi ceramah agama Islam. Namun parameter yang sama tidak digunakan kepada penceramah asing daripada agama lain. Kita tahu agamawan daripada agama lain juga menjemput pendita dan ahli agama mereka dari luar negara. Jika kita mengehadkan penceramah asing bagi agama Islam kerana mungkin tidak sesuai dengan suasana di Malaysia, ia juga harus terpakai kepada penceramah agama lain.

Dr Zakir Naik juga disuruh pulang ke negara asal beliau, India. Dr Zakir Naik telah menerima status Penduduk Tetap di Malaysia. Makna Penduduk Tetap ini ialah beliau mempunyai hak tinggal secara tetap di Malaysia. Jadi rumah beliau adalah di Malaysia bukan lagi India walaupun beliau mengekalkan kewarganegaraan India. Di Malaysia terdapat ramai orang yang memiliki status Penduduk Tetap dan ada yang telah disabitkan kesalahan. Tiada pula kedengaran mereka mesti dihantar pulang.

Adil dan saksama

Selain daripada isu berkaitan Dr Zakir Naik, permainan isu perkauman selalu ditujukan kepada orang Islam/Melayu. Walaupun sebagai kaum majoriti, orang Islam/Melayu tidak dapat mempertahankan hak mereka kerana didakwa bersikap rasis. Tetapi hal yang sama tidak boleh dikaitkan kepada yang bukan Islam atau bukan Melayu. Apabila mereka mengetengahkan sesuatu isu, ia disifatkan sebagai kebebasan bersuara. Apabila mereka merempuh garisan sewajarnya cukuplah bagi sesetengah mereka memohon maaf. Permohonan maaf tersebut mengampuni kesalahan mereka. Ia tidak berlaku kepada orang Islam/ Melayu. Dr Zakir Naik telah berjiwa besar memohon maaf namun siasatan terhadapnya masih diteruskan. Malah beliau dijatuhkan ‘hukuman’ walaupun belum ada tindakan mahkamah diambil.

Tetapi apabila orang bukan Islam/Melayu yang ditularkan melakukan kesalahan ataupun telah dituduh di mahkamah, kedengaranlah suara yang mengatakan kita perlu tunggu sehingga mahkamah membuat keputusan dahulu barulah mengambil tindakan.

Sudah ramai dalam kalangan orang Islam/Melayu berasa jelak atas layanan yang berbeza seperti ini. Bukan saya mahu menzahirkan kebencian kaum tetapi saya mahu menegur pihak berwajib supaya adil dan saksama di dalam semua bentuk keputusan mereka. Ambillah tindakan kepada Dr Zakir Naik menurut undang-undang jika beliau melakukan kesalahan tetapi jangan lupa kepada orang lain yang melakukan kesalahan serupa.

Artikel Berkaitan:

Pada pandangan saya, Dr Zakir Naik bukanlah seorang alim ulama yang mempunyai autoriti di dalam bidang agama, ataupun mengenai sejarah Malaysia. Beliau tidak seharusnya menyentuh hal berkenaan di dalam mana-mana ucapan beliau. Apatah lagi apabila menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia. Walau bagaimanapun keilmuan beliau di dalam perbandingan agama perlu dimanfaatkan bersama. Menghantar beliau ke India bukan suatu pilihan yang adil kerana kita sendiri tahu situasi layanan terhadap umat Islam di sana ketika ini.

Tindakan yang adil dan saksama perlu diambil tanpa mengira ras agama dan bangsa. Keharmonian kaum mestilah diutama. Kegusaran mestilah dipadamkan. Marilah kita bersama-sama membentuk Malaysia yang lebih adil dan saksama menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.