Jual beli amalan korporat

A
A

MENJUAL dan membeli saham dan harta-harta lain adalah perkara biasa dalam perniagaan besar yang berbentuk syarikat atau dalam bahasa Inggeris panggil corporate. Malah bagi sesetengah jenis perniagaan, membeli dan menjual saham adalah kegiatan utama yang dilakukan secara harian dan berterusan.

Jadi, apabila tidak lama dulu, seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia seolah-olah menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana Khazanah Nasional Berhad menjual saham miliknya, maka nampaklah dia tidak faham urusan korporat atau dia sengaja cuba memburuk-burukkan kerajaan.

Membeli dan menjual saham adalah antara kaedah utama bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Khazanah, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Pencen Diperbadankan (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempertahankan nilai pelaburan dan mendapatkan keuntungan modal.

Adalah perkara biasa bagi GLIC menjual sebahagian saham yang mereka miliki apabila sampai masa untuk membayar dividen atau apabila sudah mencapai matlamat keuntungan.

Apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta diuruskan dengan baik maka pihak-pihak yang memberi modal kepadanya akan mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan bonus. Sebaliknya jika ia tidak diuruskan dengan cekap dan amanah, pelabur tidak dapat apa-apa malah mungkin rugi besar atau hilang segala-galanya.

Namun begitu, bukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja yang menderita akibat pengurusan yang tidak cekap dan kurang amanah. Ia berlaku juga kepada syarikat swasta seperti yang kita lihat sedang berlaku kepada syarikat ikonik bumiputera, Utusan Melayu Holdings Berhad.

Dalam usaha mengukuhkan GLC dan GLIC, kegiatan menjual, membeli dan memindahkan saham serta harta lain akan terus berlaku. Tetapi seboleh-bolehnya jual-beli saham serta aset itu akan dilakukan dalam kalangan GLC dan GLIC sendiri. Kita mempunyai bilangan GLC dan GLIC yang cukup banyak untuk tujuan itu.

Apabila sesebuah GLC hendak menjual saham atau hartanya, keutamaan wajiblah diberikan kepada GLIC. Setelah tidak ada GLIC yang mahu membeli barulah ditawarkan kepada pihak luar. Walaupun pengurusan GLC dan GLIC diberikan kebebasan yang luas oleh kerajaan dalam urusan harian mereka, tetapi sebarang tindakan strategik eloklah dirundingkan dengan kerajaan atau setidak-tidaknya dimaklumkan kepada kerajaan.

Satu lagi, pengurusan GLC dan GLIC hendaklah berhati-hati apabila melakukan penggabungan dan pengambilalihan yang melibatkan syarikat swasta, khususnya yang bukan milik bumiputera. Ini kerana bukan semua syarikat swasta milik bukan bumiputera kukuh dan bukan semua usahawan bukan bumiputera cekap dan telus.

Saya mendengar khabar ada beberapa buah syarikat swasta milik bukan bumiputera sedang mencuba melamar syarikat GLC kerana mendapati potensi syarikat GLC itu lebih besar daripada syarikat mereka sendiri. Mereka ini mempunyai rekod membebankan kerajaan, GLC dan GLIC dengan aset yang kurang berpotensi. Setelah berpakat dengan GLC dan GLIC bagi melancarkan projek raksasa di dalam dan luar negara, mereka tubuh syarikat baharu bagi melaksanakan projek yang bersaing dengan projek usaha sama dengan kerajaan.

Begitu juga dengan tindakan melantik eksekutif bukan bumiputera untuk mengetuai GLC atau GLIC. Saya mendapat maklumat mengatakan ada pengurus kanan bukan bumiputera yang baru dilantik mengetuai sebuah GLC mempunyai rekod urus tadbir korporat yang buruk. Usahawan, pelabur dan eksekutif bukan bumiputera mula menunjuk minat kepada GLC dan GLIC kerana banyak syarikat berkaitan kerajaan amat berjaya sehingga menjadi antara yang terbesar di negara kita dan di dunia.

Jadi, walaupun kegiatan jual-beli, penggabungan dan pengambilan alih adalah amalan biasa dalam perniagaan korporat, namun kita wajib berhati-hati agar yang kita kejar kita peroleh dan apa yang kendong tidak berciciran. Wallahuaklam.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.