Syor tubuh jawatankuasa semak imbang isu 3R

Dr Sivamurugan
A
A

SHAH ALAM - Satu jawatankuasa khas hubungan keharmonian etnik wajar ditubuhkan dengan komitmen bersama semua parti politik di negara ini sebagai platform semak dan imbang berkaitan isu bangsa, agama dan raja (3R).

Cadangan itu dikemukakan penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian yang menyifatkan suasana yang sedang berlaku dalam negara kini perlu diredakan oleh ahli politik sendiri yang diakui menjadi punca terhadap masalah yang berlaku.

"Saya setuju ada sebilangan ahli politik yang sering menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan tanpa memikirkan impak kepada negara dan masyarakat dan adakalanya digunakan berlebihan. Apa pun isu, jika dipolitikkan ia tidak akan selesai.

"Jadi, untuk memainkan peranan semak dan imbang isu ini, kena wujudkan jawatankuasa ini untuk memberi maksud keharmonian dan menolak sentimen dibawa oleh pihak-pihak tertentu.

"Jawatankuasa ini boleh dianggotai oleh pihak yang tiada kepentingan yang boleh sentiasa pastikan mereka menjadi petunjuk terhadap tingkah laku pihak tertentu supaya ketenteraman negara terpelihara," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan isu perkauman di negara ini berpunca daripada sikap ahli politik sendiri.

Dalam masa sama, beliau berkata, bersempena bulan kemerdekaan negara, semua pemimpin parti perlu mengisytiharkan satu gabungan perpaduan sebagai satu contoh kepada masyarakat.

"Jika boleh, masing-masing ketepikan fahaman dan ideologi dan menunjukkan komitmen atau kenyataan bersama demi mempertahankan nilai kenegaraan dan bangsa Malaysia. Ini bermakna, baik pemimpin Pakatan Harapan (PH) atau pembangkang boleh keluarkan kenyataan bersama untuk memperlihatkan kepada yang lain bahawa mereka komited bersama untuk pastikan perpaduan tidak tergugat.

"Seterusnya dengan kenyataan bersama itu boleh tubuhkan jawatankuasa tersebut menunjukkan ada pihak yang prihatin tentang isu ini," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, setiap ahli politik tidak kira bangsa dan parti perlu mendahulukan kepentingan negara berbanding kepentingan peribadi mahupun parti sendiri demi mengelakkan isu-isu sensitif terus dimainkan.

Beliau berkata, amaran dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu polis mengambil tindakan tegas kepada semua pihak yang terus memainkan isu 3R adalah tepat pada masanya dan berharap tindakan ahli politik juga perlulah seiring.

"Ahli politik mesti sedar mereka adalah 'role model' kepada semua masyarakat. Setiap perbuatan pasti dijadikan contoh kepada masyarakat lain. Kalau ada anggota masyarakat yang mainkan isu, mereka akan tuding jari kepada ahli politik kerana mainkan isu sama.

"Nasihat kepada semua ahli politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, utamakan kepentingan negara berbanding kepentingan individu atau kepentingan parti.

"Kalau kita lihat ada wakil rakyat yang sengaja mainkan sentimen tertentu untuk meraih kepentingan peribadi. Bila negara porak peranda dan tak stabil, orang takut untuk melabur jadi kesannya amat besar," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia