PTPTN peruntuk RM31 juta untuk bantuan awal bakal pelajar IPT

Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Sesi Kemasukan September 2019 kepada penerima - penerima di Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (tiga kiri) di Hotel Edc Jalan Raja Laut. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Sesi Kemasukan September 2019 kepada penerima - penerima di Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (tiga kiri) di Hotel Edc Jalan Raja Laut. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM31 juta sebagai wang pendahuluan pinjaman (WPP) untuk ditawarkan kepada 20,716 bakal pelajar peringkat ijazah bagi kemasukan September ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, WPP ditawarkan kepada pelajar bagi membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan pelajar memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Ini sebahagian daripada pinjaman pendidikan yang diluluskan. Pemberian WPP adalah permulaan kepada usaha PTPTN untuk memastikan tidak ada pelajar yang tidak boleh masuk ke IPT kerana masalah kewangan.

“WPP ini diberikan kepada pelajar berdasarkan saluran ditetapkan yang telah dipersetujui dan ibu bapa pelajar mestilah merupakan penerima Banguan Sara Hidup Rakyat (BSHR) serta memenuhi kriteria ditetapkan PTPTN.

“Setiap pelajar menerima RM1,500,” katanya pada Majlis Penyerahan WPP PTPTN Sesi Kemasukan September 2019 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat tawaran WPP kepada 20 penerima sebagai simbolik majlis yang turut berlangsung serentak di beberapa negeri lain.

Seramai 356 pelajar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditawarkan WPP dengan peruntukan RM538,500.

Sementara itu, salah seorang penerima Muhammad Ikhmal Salam, 19, berkata dia berasa amat lega dengan tawaran WPP kerana dapat membantu sebahagian pembayaran yuran pendaftaran kemasukan ke IPT.

Artikel Berkaitan:

“Ayah saya sudah tidak bekerja. Ada kakak bantu bayar tapi dengan bantuan ini, dapat ringankan beban kakak yang turut ada komitmen keluarga,” katanya.

Bagi seorang lagi pelajar, G Anusha, 20, dia bersyukur kerana WPP akan mengurangkan beban ibu bapa.

“Saya akan gunakan untuk memberi kelengkapan penginapan di hostel. Sebahagian juga digunakan untuk yuran pendaftaran,” katanya.