Bekalan air berjadual di Kota Tinggi, Simpang Renggam 2 September ini

Jimmy
Jimmy
A
A
A

JOHOR BAHRU - Beberapa kawasan di daerah Kota Tinggi dan Simpang Renggam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 2 September depan.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keputusan itu dibuat selepas dua loji rawatan air di kawasan tersebut mengalami kemerosotan melebihi paras kritikal ekoran fenomena cuaca panas dan kering.

"Loji rawatan air Sungai Gembut, Kota Tinggi mengalami kemerosotan -0.87 meter yang melebihi paras kritikal (0.00 meter) menyebabkan loji tidak dapat beroperasi secara normal jadi Ranhill SAJ bercadang untuk melaksanakan bekalan air berjadual dengan frekuensi 24 jam ada bekalan air, 48 jam tiada bekalan air.

"Sementara loji rawatan air di Simpang Renggam turut mengalami kemerosotan pada paras muka air terpaksa dilaksanakan dengan frekuensi 36 jam ada air, 36 jam tiada air," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Kawasan terjejas di Kota Tinggi melibatkan 5,246 akaun pengguna di tiga zon iaitu zon A meliputi Bandar Perani, Felda Bukit Aping Timur dan Barat, Gembut Cina, PPRT Kampung Sayang dan AADK, Pekan Tanjung Sedili, Kampung Tuan Seh serta Taman Tuan Seh.

Zon B termasuk Sedili Kecil, Kampung Belukar Durian, Telok Mahkota, Resort Sedili Kecil, Kampung Sri Gading Laut dan Dalam, Kampung Sri Paya, Kampung Mawai Baru dan Lama, Kampung Selangit Batu 9 Jalan Mersing, Jalan Mawai serta Teluk Mahkota.

Zon C pula melibatkan Kampung Gembut, Kampung Singapura, Kampung Sentosa, Kampung Teluk Jeri Luar dan Dalam, Taman Sedili, Legaran Air Gemuruh, Kampung Sayang, Pekan Sedili Besar, Kampung Teluk, Kampung Perepat, Kampung Semayong, Kampung Nelayan, Kampung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Bukit, Kampung Temala, Kampung Teluk Nyireh, Jeti Che Pong serta Perumahan Felcra.

Sementara di Simpang Renggam yang membekalkan air kepada 25,894 pengguna di sekitar Pekan Simpang Renggam, Layang-layang dan Utara Pontian mengalami kemerosotan pada paras air di muka sauk 4.76 meter berbanding paras kritikal 4.42 meter.

Artikel Berkaitan:

Kawasan terlibat termasuklah Jalan Benut-Pontian, Jalan Parit Betak, Benut, Jalan Parit Ismail, Jalan Madirono-Makasar, Jalan Parit Panjang, Sanglang, Ayer Baloi, Pulau Sebatang dan sebahagian kawasan Api-Api, Mukim Renggam, Mukim Ulu Benut, Mukim Machap (tidak termasuk kawasan pentadbiran daerah Batu Pahat) serta sepanjang Jalan Johor-Simpang Renggam.

Menurut Jimmy, perkara ini akan terbatal sekiranya paras air mentah menunjukkan peningkatan yang membolehkan loji beroperasi pada kapasiti pengeluaran normal.

"Tetapi sekiranya keadaan bertambah kritikal, jadual lain akan dikeluarkan bersesuaian dengan keadaan semasa pengeluaran loji rawatan air," katanya.