Gojek: Keselamatan wanita tetap diutamakan - Syed Saddiq

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keselamatan kaum wanita akan tetap menjadi keutamaan ketika mereka menggunakan khidmat e-hailing menggunakan motosikal Gojek.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata piawaian keselamatan yang ditetapkan kelak akan membolehkan kaum wanita mempunyai pilihan ke atas perkhidmatan itu.

"Lebih baik Menteri Pengangkutan yang bercakap mengenai perkara ini (keselamatan) namun yang pasti, akan ada piawaian yang akan ditetapkan.

"Sebagai contoh, di negara lain, mereka mempunyai Pink Version Gojek khusus untuk wanita...untuk bantu golongan ini mempunyai opsyen," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penutup Program Bicara Kemerdekaan Kedua di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan membenarkan Dego Ride turut beroperasi seperti Go-Jek di Malaysia, Syed Saddiq menjelaskan pihaknya sedia maklum syarikat tempatan itu sangat berminat dan pernah menawarkan khidmat itu pada 2016 sebelum dihentikan oleh kerajaan yang lepas atas faktor keselamatan.

"Saya fikir ia adalah satu petanda yang sangat baik dan saya mahu pastikan pengguna tempatanlah yang akan mendapat manfaat daripadanya. Tiada sesiapa boleh monopoli dan fakta bahawa Dego Ride telah diketepikan sebelum ini, adalah satu daripada sebab utama kenapa kami mahu melakukan ini.

"Secara realiti kami mahu Dego Ride, Go-Jek dan Grab serta yang lain untuk bersaing dan memastikan kepentingan itu akan dilindungi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek bukan sekadar bonceng motosikal

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq menjelaskan beliau tidak boleh mengawal fahaman politik pegawai dan kakitangan di bawahnya selepas disoal mengenai dakwaan pelantikan 13 ahli Armada iaitu Pemuda Bersatu bagi mengisi jawatan pegawai penyelaras pembangunan sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di negeri-negeri.

"Saya ada lebih 4,000 pegawai dan kakitangan, jadi amat mustahil untuk saya mengetahui fahaman politik setiap mereka. Selagi proses atau prosedur diikuti, kita tidak akan mendiskriminasikan sesiapa," katanya. - Bernama