Menteri gesa ahli sukan, artis bantu kerajaan

P Waytha Moorthy
P Waytha Moorthy
A
A
A

MELAKA - Figura tempatan yang mempunyai ribuan peminat digesa menggunakan platform media sosial mereka untuk mempromosikan semangat perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, golongan terbabit dianggap ikon dan selebriti serta mampu menjadi contoh kepada masyarakat.

Menurutnya, kumpulan seperti ahli sukan, artis dan tokoh akademik boleh memainkan peranan besar kepada negara.

"Mereka ini ada pengikut yang luas, jadi kita harap lebih ramai dapat tampil membantu kerajaan mencari titik persamaan yang menjadi kekuatan perpaduan dan keharmonian rakyat selama ini.

"Saya percaya mereka ini boleh membantu kerajaan mencapai menyatupadukan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Lukisan Kanak-Kanak bertema 'Colour of Unity' anjuran Tech Food Ingredients Sdn Bhd dan Magpie Melaka di Elements Mall, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Tech Food, R Narendranath.

Terbaharu, tiga personaliti negara, penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza; Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian dan bekas jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menggesa rakyat pertahankan kemakmuran dan keharmonian kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan: